KEPIMPINAN TRANSFORMASI
1. PENGENALAN
Kepimpinan transformasi pada mulanya disarankan oleh James Mac Gregor Burns dalam tahun 1978 dalam bukunya ‘Leadership’. Manakala Bass (1985) pula telah menghurai idea-idea kepimpinan transformasi yang berfokus kepada meningkatkan kesedaran tentang isu-isu kepimpinan yang mempunyai wawasan, keyakinan diri, kekuatan dalaman untuk memperjuangkan apa yang dirasakan baik serta benar baginya dan bukannya sesuatu yang popular pada masa itu. Teori kepimpinan transformasi ini muncul hasil daripada gabungan Teori Sifat dan Teori Tingkahlaku.Kesan daripada kepimpinan mereka tidak sahaja menyebabkan pengikut dapat memenuhi jangkaan prestasi tetapi dapat melepasi prestasi yang dijangkakan itu.
Menurut Sosik (1997) kumpulan yang bekerja di bawah kepimpinan transformasi menjana lebih banyak penyelesaian yang tulen, kata-kata yang menyokong, penghuraian soalan-soalan tentang penyelesaian dan melaporkan peringkat prestasi yang tinggi serta usaha yang lebih dan kepuasan terhadap pemimpin berbanding kumpulan yang bekerja di bawah kepimpinan transformasi yang rendah. Perkataan transform bermakna ‘mengubah sesuatu’. Seorang pemimpin transformasi adalah seorang yang mampu mengubah sifat-sifat negatif mereka yang dipimpinnya menjadi sifat-sifat positif.
Falsafah di sebalik teori kepimpinan transformasi ialah dengan mengubah sifat-sifat dan cara berfikir individu-individu yang dipimpin dan yang akan menghasilkan perubahan kepada budaya organisasi yang dipimpin. Kepimpinan transformasi berfokus kepada apa yang berjaya dilaksanakan oleh si pemimpin, dan bukannya pada ciri-ciri peribadi pemimpin itu ataupun gaya perhubungan antara pemimpin dan pengikut.
Kepimpinan transformasi sering dianggap sama dengan kepimpinan Transaksi kerana kedua-duanya ke arah membentuk komitmen pengikut untuk mencapai objektif. Namun, jika ditinjau secara teliti, terdapat perbezaan di antara kedua-duanya. Kepimpinan Transformasi mendorong pengikut untuk mengutamakan kepentingan kelompok demi mencapai matlamat organisasi berbanding dengan kepimpinan Transaksi yang mendorong pengikut dengan tarikan kepentingan diri.
Perbezaan yang wujud di antara gaya kepimpinan Transaksi dan kepimpinan Transformasi mula-mula dikemukakan oleh Pro. J.M. Burns pada tahun 1978. Pendapat-pendapat beliau sangat berpengaruh sehingga kini. Burns disokong oleh ramai penyelidik lain yang menjalankan kajian masing-masing berdasarkan teorinya itu. Bukti-bukti empirical yang menyokong Teori Burns dikemukakan oleh pakar seperti Prof. Bernard Bass yang mencipta instrumen khusus untuk mengukur tingkahlaku para pemimpin Transaksi dan para pemimpin Transformasi. Beliau berhasil mengutip data sebagai bukti bahawa gaya kepimpinan Transformasi adalah lebih berkesan dibandingkan dengan gaya Transaksi. Menurut Avolio dan Bass (1988); Hollander (1978) dan Kuhnert dan Lewis (1987) bahawa pendekatan kedua-dua kepimpinan itu membantu subordinat mengetahui jenis kelakuan yang dikehendaki untuk memperolehi sesuatu kesan. Canger dan Kanunga (1986) berpendapat bahawa pemimpin seperti itu adalah mereka yang mempunyai karisma yang tinggi yang mampu membentuk kelakuan seperti setia, berkomitmen dan menyerah jiwa raga.
2. DEFINISI
Berbagai definisi diberikan tentang kepimpinan Transformasi. Carlson dan Perrewe (1995) memberikan definisi tentang kepimpinan Transformasi.
Gaya kepimpinan transformasi merupakan satu proses yang membenarkan wawasan pemimpin dikembangkan segera ke seluruh organisasi. Ini merujuk kepada proses mempengaruhi yang membawa kepada perubahan besar dalam sikap kakitangan agar matlamat organisasi dan wawasan pemimpin dapat dicapai.
(Carlson dan Perrewe, 1995)
Definisi lain tentang kepimpinan Transformasi adalah oleh Burns (1978).
Pemimpin Transformasional mengenalpasti dan mengeksploitasi keperluan sedia ada atau kemahuan pengikut-pengikut yang berpotensi. Lebih daripada itu, pemimpin transformasi sebenarnya melihat ‘potentil movies’ pada pengikut-pengikutnya, berusaha untuk memenuhi keperluan aras tinggi dan mengikat seluruh jiwa pengikutnya. Hasil dari Kepimpinan Transformasi ini ialah perhubungan yang saling merangsang dan berupaya mengubah pengikut-pengikut menjadi pemimpin dan mungkin mengubah pemimpin menjadi agen-agen moral.”
(Burns, 1978)
Yuji (1989) mendefinisikan Kepimpinan Transformasional sebagai
“ Satu proses untuk mempengaruhi perubahan-perubahan yang besar dan dari segi sikap dan andaian-andaian ahli-ahli sesebuah organisasi dan membina komitmen untuk mencapai misi, objektif dan strategi organisasi berkenaan”.
(Yuji, 1989).
Menurut Philip L. Hunsaker (1986),
“Pemimpin transformasi adalah pemimpin yang memiliki pengaruh yang dapat mengatasi individu yang berinteraksi secara telus dengan mereka. Melalui visi, tindakan dan pengaruh, mereka mengubah arah aspek-aspek yang besar dalam organisasi.”
Menurut Salleh Lebar (2000),
“ Kepimpinan Transformasi memfokuskan kepada peringkat moral dan motivasi dalaman yang tinggi dalam menjalankan sesuatu tugas. Kepimpinan jenis ini memerlukan seorang yangbersifat kemanusiaan, adil, jujur dan tidak emosional, tidak tamak dan tidak mencemburui kakitangannya.”
(Salleh Lebar, 2000)
Gary Yukl (1998) pula mendefinisikan kepimpinan Transformasi dengan merujuk kepada proses pembinaan komitmen ke arah objektif organisasi dan penurunan kuasa kepada para pengikutnya untuk memenuhi objektif-objektif tersebut. Pemimpin juga menggalakkan subordinatnya supaya bertindak menggunakan keyakinan diri mereka sendiri demi kebaikan sesebuah organisasi. Selain daripada itu, pemimpin juga dapat mempengaruhi subordinatnya secara luar biasa.
3. TAKRIFAN-TAKRIFAN LAIN KEPIMPINAN TRANSFORMASI
Kepimpinan Transformasi dianggap sebagai kepimpinan perubahan di mana pemimpin yang menggunakan gaya kepimpinan ini percaya mereka boleh mendorong subordinat supaya mengubah nilai dan sikap mereka dengan adanya komitmen terhadap matlamat organisasi.
Bennis dan Nanus (1985), menyatakan “ kebolehan pemimpin membantu dan menterjemah motif dan matlamat di kalangan pengikut untuk mencapai perubahan signifikan melalui kepentingan dan tenaga bersama secara kolektif”.Bass (1985) pula menyatakan, “ bekerja untuk mengubah nilai kepercayaan orang bawahan untuk mengubah budaya sesebuah organisasi”.
Kepimpinan Transformasi juga dikenali sebagai kepimpinan moral yang menitik beratkan moral dan motivasi yang tinggi di kalangan pengikut dalam melaksanakan tugas masing-masing. Kepimpinan jenis ini memerlukan seseorang yang bersifat kemanusiaan, adil, jujur dan tidak emosional, tidak tamak dan tidak mencemburui subordinat.
4. ANDAIAN-ANDAIAN TENTANG TEORI KEPIMPINAN
TRANSFORMASI
Berbagai andaian digambarkan berkaitan dengan teori kepimpinan Transformasi. Antaranya ialah:
• Kepimpinan adalah sebagai satu proses yang dinamik apabila pengikut rela menerima pengaruh pemimpin.
• Penerimaan bergantung kepada proses pertukaran di mana pemimpin memberi serta memperolehi sesuatu sebagai balasan.
• Tanggapan pengikut terhadap tindakan dan aspirasi pemimpin adalah unsur paling penting dalam teori ini.
• Pemimpin berinteraksi dengan pengikut dalam keadaan yang terjamin.
• Sumber kuasa yang dimiliki oleh pemimpin diperolehi sama ada daripada pihak atasan atau daripada semangat kesetiaan yang ditunjukan oleh pengikut.
5. UNSUR-UNSUR UTAMA TEORI KEPIMPINAN TRANSFORMASI
Unsur paling utama dalam kepimpinan Transformasi ialah pengikut menaruh harapan yang tinggi terhadap pemimpin dan menghargai sumbangan pemimpin kepada mereka. Kumpulan pula berfungsi sebagai satu sistem di mana input kumpulan diperolehi daripada ahli kumpulan sendiri dan merekalah yang menghasilkan output yang diharapkan.
6. PEMIMPIN DAN KEPIMPINAN TRANSFORMASI
Kepimpinan Transformasi juga dikenali sebagai kepimpinan karismatik ( Max Weber, 1968). Kepimpinan Inspirational atau Institutional ( Hunsaker, 1986). Asas kepada teori ini adalah pemimpin-pemimpin mengilhamkan atau menginspirasikan para pengikutnya untuk mengenalpasti minat mereka dan melihat ke arah tujuan yang berfokus atau berpusat. Pemimpin Transformasi menumpukan usaha kepada matlamat jangka panjang, meletakkan nilai-nilai dan memberikan penekanan kepada pembangunan dan menginspirasikan para pengikutnya untuk mengejar visi, mengubah dan menyelaraskan sistem untuk memenuhi visi.
Konsep Kepimpinan Transformasi telah wujud sejak perbincangan Max Weber mengenai Kepimpinan Karismatik pada dekad-dekad awal abad ke 20. Hanya sedikit perhatian diberi hinggalah muncul pengkaji bernama Robert J. House (1976) yang telah menjalankan analisa bersistem mengenai subjek ini dan menghasilkan ‘ Teori Robert J. House tentang Kepimpinan Karismatik’. Beberapa kajian berkenaan Kepimpinan Transformasi hari ini adalah berlandaskan kepada kajian penerokaan oleh James Mc Gregor. Burns (1978) dan kajian empirikal yang telah dijalankan oleh Bass (1985) dan rakan-rakannya ke atas teori Burns adalah dianggap sebagai titik permulaan. Melalui kajiannya, Bass (1996) memerhati gelagat perhubungan seseorang pemimpin Transformasi melalui empat dimensi iaitu:
• Keunggulan gelagat
• Menumpu kepada setiap individu
• Kelakuan ideal/karisma
• Merangsang secara intelek
Menurut Burns, kepimpinan seperti ini akan meningkatkan tahap aspirasi dalam
etika dan pengendalian manusia kepada kedua-dua pemimpin dan pengikutnya.
Oleh itu ianya akan menghasilkan kesan transformasi kepada mereka. Burns melihat kepimpinan seperti ini sebagai “kepimpinan yang dinamik” dalam erti kata di mana pemimpin menjalinkan perhubungan dengan pengikut-pengikutnya sehingga pengikut-pengikut berkenaan merasakan mereka menjadi ahli yang lebih aktif. Melihat kepimpinan sebagai satu proses dan bukannya sebagai satu set langkah-langkah yang diskrit, Burns (1978) menjelaskan kepimpinan Transformasi sebagai “satu aliran kemunculan perhubungan di mana pemimpin secara berterusan membangkitkan motivasi pengikut-pengikutnya. Oleh itu pemimpin mengubahsuai tingkah laku mereka apabila berhadapan dengan tanggung jawab atau halangan, dalam satu aliran proses yang tiada halangan dan tiada hentinya atau sebaliknya”. Dalam aliran inilah kepimpinan seseorang boleh menjadi sama ada ‘transforming’ atau ‘transactional’.
Walaupun Bass dan rakan-rakannya (1985) menyatakan bahawa perubahan berlaku terlalu perlahan dalam amalan, teori dan kajian tentang kepimpinan, mereka tidak menafikan bahawa anjakan paradigma sedang menyusul dalam kepimpinan dan sudah sampai masanya untuk kita memikirkan tentang kepimpinan lebih jauh dari yang bersifat transactional. Isu yang dibangkitkan oleh Bass adalah untuk memperolehi pencapaian pengikut-pengikut melebihi daripada tahap biasa mereka. Maka kepimpinannya mestilah bercorak transformational. Sikap, kepercayaan, motivasi dan keyakinan pengikut-pengikut perlulah dipindahkan dari aras kebangkitan dan kematangan yang rendah kepada aras yang lebih tinggi. Menurut Bass lagi, sifat-sifat sedemikian adalah amat diperlukan untuk melakukan perubahan organisasi dalam era pasca-moden. Perubahan peringkat rendah, seperti pengalaman sedia ada hanyalah sesuai digunakan sebagai satu proses pertukaran dalam perhubungan transactional. Manakala perubahan peringkat tinggi memerlukan kecepatan dalam peningkatan daya usaha dan ketepatan yang melibatkan perubahan-perubahan yang lebih besar melalui sikap, kepercayaan, nilai dan keinginan.
Tichy dan Devanna (1986) telah mengkaji proses-proses bagaimana pemimpin Transformasi menggerakkan sesebuah organisasi melakukan perubahan-perubahan yang besar. Mereka telah mengenal pasti tiga peringkat transformasi dalam organisasi.
Peringkat 1
• Mengenal pasti keperluan untuk melakukan perubahan dan cuba menyakinkan kakitangan utama dan organisasi berkenaan kesungguhan untuk melakukan perubahan.
Peringkat 2
• Melibatkan kakitangan utama dalam mereka bentuk dan mengilham visi
masa depan organisasi.
Peringkat 3
• Menggerakkan komitmen-komitmen ke arah visi yang telah dibentuk.
Kepimpinan Transformasi juga mempunyai tujuan, visi dan berfokus, satu struktur perancangan. Satu proses pemuafakatan dalam membuat keputusan serta satu budaya yang dikongsi bersama.
7. CIRI-CIRI KEPIMPINAN TRANSFORMASI
Ciri-ciri kepimpinan transformasi adalah seperti berikut:
1. Memiliki Karisma.
Para pemimpin transformasi mempunyai visi dan misi. Mereka diyakini, dihormati, ditaati dan disanjungi oleh para pengikutnya. Disebabkan keyakinan ini, mereka dapat berkongsi matlamat dan perjuangan. Oleh itu mereka merasa yakin, bangga dan bersemangat hendak mencapai apa yang mereka perjuangkan. Pemimpin transformasi berupaya menngemukakan wawasan-wawasan baru dan menggerakkan seluruh tenaga kerja bagi menerima wawasan-wawasan ini dan bersatu serta bekerjasama bagi merealisasikannya.
Karisma dapat menjadi alat bagi menukar para pengikutnya menjadi orang yang sangat efektif di dalam tugas-tugas yang diamanahkan. Mereka juga memberikan misi dan perjuangan yang jelas kepada para pengikutnya. Contoh visi dan misi yang amat jelas terdapat dalam ucapan Presiden John Kennedy apabila beliau mengajak rakyat Amerika berkongsi tekad bagi menghantar manusia ke bulan dan membawanya pulang ke bumi dengan selamat menjelang tahun 1970.
Sebagai seorang pemimpin, jika mereka berupaya menjadikan impian sebagai satu kenyataan yang pasti, maka pengikut akan menyokong mereka dengan sukarela.
2. Memberikan Rangsangan Intelektual.
Pemimpin Transformasi berupaya menjadikan para pengikutnya mampu mengenalpasti pelbagai cabaran dan halangan yang ada di depan mereka dan menjadikan mereka orang yang berani menghadapi cabaran dan menyelesaikannya. Mereka memberikan perhatian peribadi kepada pengikutnya dengan cara memberikan sokongan, dorongan dan perhatian yang sewajarnya agar sesuatu tugas dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
3. Mencetuskan Ilham
Pemimpin Transformasi memberikan motivasi yang amat tinggi kepada pengikutnya iaitu mampu mencetuskan ilham dalam diri mereka. Para pemimpin ini mampu membangkitkan emosi yang kuat di kalangan pengikut mereka. Mereka mampu mengujudkan perasaan kesepaduan antara pengikut dan pemimpin. Mereka juga boleh membantu para pengikutnya mengubah sikap dan tingkah laku dengan cara melatih mereka menjadi mentor kepada para pengikut yang lain. Latihan ini dilakukan untuk menggalakkan para pengikut agar berani menghadapi cabaran untuk mencapai impian mereka. Pemimpin Transformasi cenderung membawa perubahan kepada seluruh organisasi yang dipimpinnya.
4. Memberi Perhatian Individu
Pemimpin Transformasi mengambil berat terhadap kepentingan setiap individu yang dipimpinnya dan mereka sanggup mendengar dan menyelesaikan masalah individu. Setiap orang dianggap penting dan diberikan layanan khusus. Mereka mencari waktu untuk bercakap dengan setiap orang serta bercakap kepada kumpulan. Ini menyebabkan orang yang dipimpin berasa dihargai dan dihormati.
Kajian-kajian menunjukkan para pemimpin Transformasi sangat berjaya membawa perubahan dan perkembangan kepada organisasi yang mereka pimpin. Apabila orang-orang yang berada di bawah pimpinannya berasa mereka dipimpin oleh pemimpin yang mempunyai gaya transformasi, mereka menunjukkan sikap yang positif sebagai pengikut. Mereka juga memperolehi kepuasan dalam menjalankan tugas. Mereka juga lebih komited terhadap organisasi. Bagi membolehkan organisasi yang dipimpin mencapai matlamat dalam kepimpinan transformasi, ciri-ciri berikut boleh dijadikan panduan:
i. Menggubal visi untuk organisasi
Visi yang digubal itu mestilah disenangi dan diterima oleh pengikut supaya mereka dapat memberikan sokongan sepenuhnya dan seterusnya mengamalkan visi berkenaan. Sesuatu visi itu mestilah tepat dan jelas serta mudah difahami oleh pengikut bagi membolehkan mereka menjadi pelaksana yang berkesan.
ii. Menggubal strategi pencapaian visi
Warwar dan jelaskan strategi kepada semua orang yang dipimpin. Elakkan daripada mencipta strategi yang panjang lebar. Strategi hendaklah mempunyai hala tuju yang jelas dan mempunyai panduan utama. Beri peluang kepada pengikut untuk menyumbangkan idea dan fikiran mereka. Dengan ini pengikut akan merasakan mereka adalah sebahagian daripada organisasi.
iii. Elakkan bercakap tentang visi
Teruskan memotivasikan pengikut untuk merealisasikan visi organisasi.
iv. Pamerkan rasa yakin dan sikap optimis yang tinggi bahawa visi itu mampu dicapai.
Sebagai pemimpin, keyakin diri yang tinggi menjadi perhatian pengikut. Sekiranya pemimpin memiliki keyakinan barulah pengikut juga akan turut merasakannya.
v. Pamerkan rasa yakin pada bakat dan kebolehan pengikut.
Keyakinan juga merupakan hal yang sangat penting. Pemimpin mestilah memberi sepenuh keyakinan terhadap bakat dan kebolehan pengikut dalam melaksanakan tugas merealisasikan visi. Apabila pengikut mengetahui bahawa mereka diyakini, maka pengikut akan melaksanakan tugas dengan sukarela.
vi. Memperjelaskan kepentingan yang diutamakan oleh organisasi.
Pemimpin harus tahu menunjukkan kepada pengikutnya tentang keutamaan yang dititik beratkan oleh organisasi. Lahirkan secara simbolik mahupun secara terus terang. Contohnya kilang yang mengutamakan mutu hasil pengeluaran akan melupuskan hasil keluaran yang tidak bermutu.
vii. Kepimpinan melalui teladan.
Pemimpin yang inginkan hasil terbaik harus mengamalkan konsep
ini. Apabila pemimpin menunjukkan teladan yang selari dengan
visi dan misi organisasi, pengikut akan menurut arus kepimpinan
mereka.
Secara ringkasnya dapatlah disimpulkan bahawa Kepimpinan Transformasi adalah seperti berikut:
• Satu perhubungan antara manusia.
• Bersifat karismatik atau inspirasi.
• Personal
• Merangsang secara intelek.
• Bersifat transaksi dan transformasi.
• Untuk komuniti.
Kepimpinan Transformasi juga mempunyai tujuan, visi dan berfokus. Mengandungi satu struktur perancangan, satu budaya yang dikongsi bersama dan satu proses pemuafakatan dalam membuat keputusan.
Sunday, November 1, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment