Wednesday, October 28, 2009

Satu Malaysia
















1Malaysia


"Saya berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat lelah, berkhidmat dan membela untung nasib rakyat.Kita akan sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat negara dengan semangat: Satu Malaysia. Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.” Petikan daripada ucapan YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak ini memberi tafsiran yang beliau ingin melaksanakan satu transformasi kepada negara, demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia .YAB Dato’ Seri Najib telah memulakan tampuk kepimpinannya dengan satu arah tuju yang cukup jelas. Sepanjang tahun 2008 Malaysia menghadapi kemelut politik.Manakala pada tahun 2009 kita semua maklum mengenai kesan yang semakin menghimpit akibat krisis ekonomi dunia.Kita percaya bahawa kemelut ekonomi dan politik ini akan terus menjadi cabaran kepada kepimpinan baru sekarang.Ia seharusnya dihadapi oleh semua pihak dengan matlamat yang satu, tanpa mengira kaum,agama dan kiblat politik.”1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan” slogan ini mencerminkan sikap prihatin dan terbuka yang dimiliki pemimpin kita.Slogan ini cukup baik kerana bak kata Datuk Seri Najib ianya merentasi kaum dan etnik di negara ini. Beliau juga berjanji untuk menjadikan dirinya Perdana Menteri untuk komuniti.Semua kaum seharusnya tidak merasakan diri mereka tersisih kerana negara Malaysia adalah untuk semua.Tugas dan tanggungjawab Datuk Seri Najib cukup besar dan mencabar.Bukan senang untuk menyatu padukan rakyat berbilang kaum yang berlainan keturunan, agama serta fahaman politiknya.Slogan yang dibawa oleh Perdana Menteri memberi harapan kepada rakyat di mana tiada seorang pun akan dipinggirkan dalam pentadbiran beliau.
”Rakyat Didahulukan”merupakan satu gagasan untuk membina negara bangsa kearah mencapai Wawasan 2020. Merealisasikan Malaysia sebagai sebuah Negara Maju merupakan intipati utama dalam Wawasan 2020 yang diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohammad pada 28 haribulan Februari 1991. Ia merupakan satu Rancangan Malaysia Jangka Panjang untuk melonjakan Negara Malaysia sebaris dengan negara-negara maju di dunia seterusnya memertabatkan bangsa Malaysia sebagai bangsa yang berkualiti, berdaya maju serta berdaya saing dalam semua aspek dan demensi, ekonomi, politik, social, kerohanian, psikologi dan budaya.
Bagi mencapai status itu, setiap warganegara harus bersedia dengan apa sahaja perubahan yang masuk ke negara kita sama ada secara sengaja atau sebaliknya, positif atau negatifnya dan seumpamanya lagi.Pembaharuan pentadbiran kadangkala dirujuk sebagai reformasi, perubahan, pemodenan, pembaikkan atau pembangunan yang membawa maksud peralihan daripada keadaan atau cara lama kepada keadaan atau cara baru yang dikatakan lebih baik. Umumnya, peralihan pasti berlaku akibat tekanan dan pengaruh bebarapa fakor luaran dan dalaman. Faktor luaran sangat berkait dengan pengaruh globalisasi yang melanda dunia hari ini. Sebagai contoh, perubahan ideologi politik daripada sosialis kepada demokrasi di Rusia serta kejatuhan nilai mata wang dan pasaran saham di Negara-Negara Asia Timur telah memberi kesan terhadap operasi sesebuah organisasi. . Matlamat globalisasi ialah untuk melahirkan masyarakat lebih bermaklumat dan berilmu. Secara langsung kita dapat melihat kesannya di Malaysia yang melibatkan sosio-ekonomi, pendidikan, kebudayaan, multi media dan penyelidikkan di Malaysia. Walaupun dari segi positifnya kita melihat terdapat faktor-faktor menyumbang dalam konteks pendidikan di Malaysia, namun dari sudut falsafah dan matlamat globalisasi itu sendiri ianya boleh mengugat kekuatan asasi sesuatu bangsa atau kelompok seperti sistem nilai, agama, budaya dan corak hidup masyarakat di Malaysia. Antara bidang yang ada rapat hubungan dengan proses globalisasi ini ialah aspek pembangunan modal insan yang selalu di tekankan oleh Perdana Menteri Malaysia.
Apakah sebenarnya ”1Malaysia.Rakyat Didahulukan,Pencapaian Diutamakan”?
Menurut Kamus Dewan,edisi keempat, 1 atau Satu membawa maksud angka permulaan membilang bilangan,tidak ada yang lain atau solo. Manakala Malaysia bermaksud sebuah negara yang terletak di Asia Tenggara yang ibu negaranya Kuala Lumpur, bahasa rasmi dan bahasa kebangsaannya bahasa Melayu, dan agama rasminya agama Islam.Rakyat pula bermaksud seluruh penduduk sesebuah negeri atau negara.Didahulukan pula membawa maksud membuat sesuatu lebih awal daripada yang lain.Pencapaian pula membawa maksud apa yang telah dicapai,dihasilkan atau diperolehi.Manakala diutamakan membawa maksud dianggap lebih penting daripada yang lain. Dari huraian yang telah dibuat, dapat dirumuskan bahawa 1Malaysia.Rakyat Didahulukan,Pencapaian Diutamakan diertikan sebagai Malaysia yang bersatu padu dari semua segi yang mana kepentingan seluruh rakyatnya diambil berat lebih awal daripada hal yang lain dan pencapaian serta hasil yang diperolehi dianggap lebih penting.Yang lebih nyata, 1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. 1Malaysia. Rakyat Didahulukan,Pencapaian Diutamakan diyakini akan menjana satu transformasi ketara, kearah sebuah negara maju, didukungi oleh rakyat yang utuh perpaduannya dan tinggi mertabatnya pada pandangan dunia.1Malaysia merupakan satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Ianya merupakan pelengkap kepada pendekatan-pendekatan yang sedia ada dalam dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional untuk memperkukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan,ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara Malaysia.Selain itu, 1Malaysia juga digagaskan sebagai satu formula yang akan membantu memastikan aspirasi negara, iaitu wawasan 2020 tercapai jika ia diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat. Untuk mencapai status negara maju,syarat yang paling utama ialah sebuah negara yang kukuh dan stabil. Kestabilan dan kekukuhan ini hanya dapat dicapai apabila rakyat bersatu padu.
1Malaysia menggambarkan perpaduan yang amat berbeza dari konsep asimilasi yang diamalkan oleh negara-negara lain.Di negara-negara lain identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan diganti dengan satu identiti nasional yang sama. Sebaliknya identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia serta prinsip-prinsip perlembagaan persekutuan dihargai dan dihormati oleh 1Malaysia.Malahan prinsip-prinsip perlembagaan persekutuan serta identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia dianggap sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan.Sikap penerimaan di kalangan rakyat berbilang kaum juga ditekankan oleh 1Malaysia.Dalam konsep penerimaan ini,sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya supaya dapat hidup bersama dalam keadaan saling hormat-menghormati sebagai rakyat dalam satu negara.1Malaysia juag menjadi asas kepada prinsip keadilan untuk semua kaum.Di bawah prinsip ini nasib semua kaum akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan.Keadilan ini telah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum di kesemua tahap. Dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan perlembagaan tetap akan memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya.
Dalam PIPP ( 2001-2010 ) teras pertama telah menyebut tentang membina negara bangsa.1Malaysia adalah sebagai penerus kepada agenda membina negara.Untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu.Ianya harus dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum yang akan membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar.
Dalam usaha mencapai negara maju, pembentukan Negara Bangsa menjadi semakin mencabar terutamanya dalam era globalisasi. Globalisasi bukan sahaja berkuasa menggerakkan modal, barangan dan manusia, tetapi juga berupaya mengubah gagasan, budaya, nilai dan jati diri secara tradisional.Gagasan ,budaya, nilai dan jati diri sesebuah negara Bangsa akan lenyap begitu sahaja sekiranya bangsa tersebut lalai dan menerima sewenang-wenangnya segala yang dibawakan oleh arus globalisasi.
Pembentukan Negara Bangsa Malaysia yang maju dan bersatu padu bukan sahaja perlu berasaskan ekonomi yang berdaya tahan tetapi juga kepada pengagihan kekayaan yang lebih adil dan saksama. Di samping pertumbuhan dan kedinamikan ekonomi yang perlu dicapai, ketidak seimbangan peluang ekonomi dan sumber pendapatan tidak harus dibiarkan berlarutan sehingga menggugat pembangunan negara. Menjelang wawasan 2020, tidak wajar ada golongan yang tercicir daripada arus kemajuan negara.Pada waktu yang sama, minda, budaya dan nilai yang menjadi pegangan rakyat serta institusi sosial perlu diperkukuhkan sejajar dengan hasrat negara untuk maju mengikut acuannya sendiri.
Pembinaan Negara Bangsa amat penting bagi sesebuah negara yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia. Keupayaan membina Negara Bangsa bergantung kepada perkongsian nilai serta semangat patriotisme.Ia menjadi semakin penting lebih-lebih lagi dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dab pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia, tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara.
Perpaduan merupakan aspek penting dalam pembangunan negara. Kemajuan yang dinikmati sekarang adalah hasil daripada perpaduan erat antara pelbagai kaum di negara ini.
1Malaysia terdiri daripada empat asas utama.Pertama ialah perpaduan.Perpaduan adalah pra-syarat dalam usaha merealisasikan aspirasi negara iaitu mencapai status Negara Maju menjelang tahun 2020.Kedua, 1Malaysia adalah penerusan agenda membina negara.Ketiga, perpaduan sememangnya telah membentuk teras utama dalam hala tuju negara menuju kecemerlangan bermula sejak kemerdekaan dicapai. 1Malaysia bertujuan menyemarakkan semula semangat perpaduan dan persaudaraan di kalangan rakyat Malaysia.Keempat, untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu, dan ini dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum, yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar.

Konsep 1Malaysia digagaskan akan terlaksana dalam dua aspek utama . Aspek yang pertama adalah penerapan teras-teras perpaduan.Menerapkan teras-teras perpaduan sebagai budaya dan amalan semua rakyat Malaysia. Teras perpaduan ini didokongi oleh nilai-nilai murni yang seharusnya mendasari cara hidup rakyat Malaysia.Aspek kedua pula adalah penerapan nilai-nilai aspirasi.Nilai-nilai aspirasi yang digagaskan dalam konsep 1Malaysia ialah nilai-nilai yang perlu ada pada masyarakat progresif dan dinamik yang akan memacu negara ke arah mencapai status negara maju.Nilai-nilai aspirasi akan membantu dalam mewujudkan tenaga kerja yang berdaya maju dan mampu bersaing dalam persekitaran global dan ini seterusnya membantu melonjakkan kedudukan ekonomi negara ke tahap yang lebih kukuh dan mantap.
Dalam aspek pertama ini pula ada tiga teras.Teras pertama adalah penerimaan. 1Malaysia menekankan sikap penerimaan di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar dapat kita hidup bersama dalam keadaan saling hormat-menghormati sebagai rakyat dalam satu negara. Teras kedua pula adalah prinsip-prinsip kenegaraan yang berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.Teras ketiga pula keadilan sosial.Semua rakyat Malaysia akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza.Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan.
Ketiga-tiga teras perpaduan ini pula didokongi oleh empat nilai murni. Nilai yang pertama adalah Hormat-menghormati.Hormat-menghormati antara semua kaum termasuk menghormati adat resam serta budaya kaum lain.Rasa hormat ini juga menuntut kita tidak mengeluarkan kata-kata kesat tentang kaum lain dan juga tidak mempersoalkan peruntukan-peruntukan undang-undang yang menyentuh sensitiviti kaum.Nilai kedua pula adalah rendah hati ( Tawadhuk). Rasa rendah hati atau Tawadhuk adalah perasaan insaf bahawa kita semua adalah rakyat dalam satu negara yang sama dan kita perlu hidup bersama secara harmoni.Ia juga merangkumi pengertian bahawa setiap kaum, malah setiap individu ada kelemahan dan kelebihan nya yang sendiri, dan seterusnya kita memanfaatkan kelebihan masing-masing demi untuk memperkukuhkan masyarakat dan negara.Nilai ketiga adalah kesederhanaan.Pendekatan sederhana dalam apa jua isu yang berbangkit. Dalam negara bermasyarakat majmuk seperti Malaysia, tindakan atau tutur kata bersifat ekstrem tidak langsung boleh diterima kerana ia boleh membawa kepada masalah ketidakstabilan sosial yang lebih parah.Nilai keempat pula adalah Berbudi-bahasa.Budi-bahasa ialah tuturkata dan tingkah laku yang tertib dan berpaksikan kesantunan dalam segala interaksi dan perhubungan dengan pihak lain bagi menjana kerjasama dan permuafakatan yang lebih erat.
Dalam melaksanakan aspek kedua gagasan 1Malaysia, ada beberapa nilai aspirasi yang perlu diberi penekanan.Nilai yang pertama adalah Budaya berprestasi tinggi.Sifat memastikan setiap perkara dan setiap tugas yang dilakukan mencapai tahap yang terbaik.Sikap sambil lewa dan ”acuh tak acuh” tidak boleh wujud dalam masyarakat yang berdaya maju.Nilai kedua adalah budaya ketepatan.Sebagai rakyat sebuah negara yang berhasrat mencapai status negara maju, rakyat Malaysia perlu dikenali dengan budaya ketepatan, termasuklah menepati waktu dan mengutamakan kecekapan dalam melaksanakan semua tugas dan kewajipan..Nilai ketiga adalah budaya ilmu. Sesebuah negara hanya akan benar-benar maju dan berjaya apabila rakyatnya memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi. Budaya ilmu ialah kecenderungan untuk sentiasa memburu pengetahuan yang ternini dan kesediaan untuk menimba ilmu sepanjang hayat.Nilai keempat adalah Integriti.Rakyat Malaysia perlu memiliki integriti yang tinggi dalam melaksanakan sebarang tugas dan tanggungjawab agar bangsa dan negara sentiasa disegani dan dihormati oleh semua pihak. Integriti merangkumi sifat-sifat amanah, bersih dan cekap dalam melakukan sebarang tugas dan melaksanakan tanggungjawab.
Nilai kelima adalah ketabahan.Ketabahan dalam mengharungi masalah dan cabaran yang mendatang.Rakyat Malaysia seharusnya bersifat tidak mudah mengaku kalah.Sebaliknya perlu memiliki keyakinan diri yang tinggi serta semangat juang yang kental dalam apa jua bidang yang diceburi.Nilai keenam adalah kesetiaan. Kesetiaan sepenuhnya kepada negara Malaysia dan kesediaan untuk berbakti dan berkorban demi negara yang tercinta.
Nilai ketujuh adaalah kebijaksanaan. Kebijaksanaan ialah cara berhadapan dengan sebarang masalah dengan penuh berhemah dan teliti agar tidak berlaku perkara-perkara yang menyinggung hati dan perasaan mana-mana pihak yang lain.Nilai kelapan adalah budaya inovasi. Budaya inovasi adalah kesediaan kita sebagai rakyat Malaysia untuk mencuba perkara baru dan berinovasi dalam apa jua lapangan yang kita ceburi. Rakyat Malaysia perlu dikenali sebagai individu-individu yang mampu menjadi pemimpin dalam bidang masing-masing. Kita mesti berani berubah untuk kebaikan, berani mencari penyelesaian baru dalam menangani masalah dan sentiasa bersedia untuk menjadi perintis.
Kesimpulannya, 1Malaysia.Rakyat didahulukan,Pencapaian Diutamakan diyakini akan menjana satu transformasi ketara, kearah sebuah negara Malaysia yang maju, didokongi oleh rakyat yang utuh perpaduannya dan tinggi mertabatnya pada pandangan dunia.Sebagai rakyat Malaysia ia seharusnya dihadapi oleh semua pihak tanpa mengira asal dari pelusuk negeri yang mana, kaum apa ,tampuk kepimpinan apa dan apa pegangan agamanya.Slogan ini seharusnya dipikul bersama oleh rakyat Malaysia jika ingin merealisasikannya.

No comments:

Post a Comment