Friday, November 6, 2009

Aku seorang PK Kokurikulum





> Semasa Sukan.






> Program Keceriaan Sekolah







karya ku
















DENAI PERJUANGANKU

Ucapan selamat pagi daripada Encik Manggi,Guru Besar sekolahku mengejutkanku dari ke khusyukan menyemak kerja rumah muridku.Memang menjadi rutinku menyemak buku murid dan menyiapkan bahan pengajaran dan pembelajaran untuk hari seterusnya pada waktu luang.Apabila khusyuk, hampir tak disedari ada orang sudah tercegat di depanku. Aku mendongak.Guru Besar sekolahku sudah berdiri di depanku.
“ Terkejutlah.Apa hal ni? Mesti suruh pergi kursus ni”kataku sambil berseloroh.
“ Ini cikgu,ada satu borang ni. Saya nak cikgu lihat dan isi”
“ Beritahu mereka yang lainlah dulu” pintaku bersahaja.
“ Dah saya kaji borang tu. PK 1 dah berumur 50 tahun,PK HEM masih dengan program OUM,yang lain-lainnya tak cukup syarat.Cuma kamu sahajalah yang layak dan memenuhi syarat di sekolah ini” jelas guru besar dengan panjang lebar.
“ O.k lah .Saya tengok dulu borangnya nanti saya fikirkan nak isi kah tidak”
“ Tak boleh tengok-tengok. Nanti awak tak isi juga macam borang pencalonan guru cemerlang hari tu”.
“ O.k lah.Saya janji saya akan isi.Nantilah.Saya ada kelas lepas ni”.
Sejurus selepas itu loceng pun berbunyi.Aku masuk ke kelas dan melupakan pasal borang yang telah dihulurkan kepadaku.Murid-muridku pada hari itu ada yang memeningkan dan ada yang menghiburkan.Walau apa pun terjadi ilmu mesti disalurkan dan dicurahkan.Tanpa disedari masa berlalu begitu cepat sekali.Aku pun merumus pengajaran dan pembelajaran pada hari itu dan mengemas alat bantu mengajar yang telah ku gunakan.Aku melangkah ke bilik guru.
“ Macam mana cikgu, sudah isi borang tu?”
“ O ya ? O k.lah janji tetap janji.Lepas ni saya isilah”
Langkahku ke bilik guru terhenti seketika bila terserempak dengan guru besar di koridor bilik guru.Rupanya guru besar memang nakkan aku cepat mengisi borang tersebut kerana esok adalah tarikh tutup menghantar borang tersebut ke Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.Aku pun menanya pendapat suamiku tentang borang itu. Nampaknya dia memberi galakkan supaya aku mengisi borang tersebut.Aku pun membuat apa yang patut ku lakukan pada borang tu dan serahkan kepada guru besar .
“ Macam tu lah.Jangan asyik jadi kereta kancil saja .Keluarlah dari kotak. Jadilah kereta prado ke,kereta Ninja king ke” gurau guru besar sekolahku.
“ Aku dah ada Hilux tu” jawabku bergurau juga.
Hari-hari seterusnya berlalu dengan kesibukan yang biasa di hadapi oleh seorang guru.Masa berlalu dengan begitu cepat sekali.Kesibukkan sehari-hari membuat hal borang tersebut terkeluar dari senarai di ingatan.
“ Cikgu, minggu depan cikgu ada temuduga.Kena tempah tiket sendiri.Ini suratnya.Baca dan ambil tindakan awal” nasihat Encik Manggi.
“ Wah, temuduganya di Kuching.Tambang sendiri.Banyak ni” gumamku.
“ Berkorban sedikit tidak mengapa cikgu.Tak luak pun gaji tu” gurau Encik Manggi lagi.
“ Kesitu pula dah” selorohku pula.
Aku menghadiri temuduga tanpa ada persediaan apa-apa.Pula dah! Aku benar-benar tidak tahu apa sebenarnya tujuan kursus itu dan tidak tahupun apa sebenarnya yang perlu ku tahu ( pecah rahsia ).Keadaanku ketika itu mungkin boleh diibaratkan seperti ikan masuk dalam bubu.Seolah–olah tidak sedar apa sebenarnya yang berlaku.Sesi temuduga mengencangkan degupan jantungku.Melihat keramahan para penemuduga kendur sedikit degupannya.Sesi berbincang dalam kumpulan membuat lidahku kelu.Berbincang dengan rakan-akan yang tidak pernah dikenali dan dalam keadaan malu-malu pula tu.Berlainan dari temuduga yang pernah kuhadiri sebelum ini.Selesai sesi temuduga, kami sempat lagi membincangkan jawapan ujian yang telah dijalankan.Riuh seketika sebelum kami bersurai ke haluan masing-masing.
Minggu sudah berganti bulan.Kesibukkan seorang guru tetap sama.Aku banyak pergerakan.Sekejap kursus ini.Sekejap kursus itu.Minggu ini mengganti guru besar kursus di Miri. Minggu itu kursus di Limbang.Minggu depan wakil bahagian ke PSKPP pula.Aku berasa bersalah kerana kerap meninggalkan anak didikku.Tetapi arahan tugas tidak boleh diingkari.Kena kelas tambahan pula untuk ‘cover’ tajuk dan sukatan. Sabar sajalah.Tanpa ku sedari ada lagi satu kursus mega untukku.
“ Ah, cikgu petang ni pergi Ngiu Kee beli beg besar-besar” gurau Encik Steve Penolong Kanan 1 di sekolahku.
“ Kenapa pula? Nak suruh aku pindah ke? gurauku pula.
“ Nah, ni.Awak kena tinggalkan orang tersayang berbulan lamanya.Itu lah kena beli beg besar-besar.Kena bawa selimut tebal-tebal. Sejuk tu.”
“ Tak habis-habis nak sakat orang”
“ Eh, betullah!Ambil Surat ni dulu”kata Encik Steve sambil menghulur surat tersebut.
Aku terdiam membaca surat tersebut.Institut Aminuddin Baki ?? Aku pernah mendengar nama institut itu. Guru besar di sekolah lamaku pernah menuntut di situ.Genting Highlands ?? Aku juga pernah dengar nama tempat itu.Pernah belajar tentangnya dalam Geografi. Tetapi kedudukan sebenarnya atas bumi nyata ini terus terang ku katakan tidak tahu di mana.Maka timbullah berbagai-bagai soalan dalam benakku.Di mana tempat itu ? Bagaimana nak ke sana ? Bukankah ada diberi pilihan tempat berkursus dalam borang permohonan tu ? Kenapa di tanah semenanjung pula?
Kenapa tidak di Kota Kinabalu ?Boleh kah balik setiap hujung minggu?Terlalu banyak persoalan ku hantar ke RAM-otakku membuatnya lambat menjana maklumat.Aku pun berhenti berfikir sejenak.Fikiranku kosong!
“ Eh, kenapa termenung panjang ni? Jangan fikir banyak-banyak.Pergi sahaja.Bukan semua orang dapat peluang belajar seperti ini” kata-kata Cikgu Ariffin mengembalikan aku ke hal borang tersebut.
“ Bukan pasal peluang belajar ni.Aku tengah fikir macam mana aku nak ke sana”
“ Bukankah awak dah pergi hantar murid kepertandingan drama di Bukit Kiara, Kuala Lumpur tahun lepas?”
“ Itu di Kuala Lumpur. Ini di Genting Highlands”
“ Alahai.Macam ni,awak naik kapalterbang ke Kuala Lumpur,naik bas dari lapangan terbang ke KL Sentral.Lepas itu bawa teksi ke genting Highlands.Kalau nak cepat sampai lagi awak naik helikopter dari sini terus ke Genting Highlands” gurau cikgu Ariffin lagi.
“ Awak ni pun satu.Semua orang macam nak sakat aku saja.”
“ Merajuklah tu.Sensitif orang sekarang ni, eh!”
“ Merajuk apa? Tiada masa !”
“ Amboi-amboi, maklumlah nak tinggalkan kami lama-lama!”
“ Kesitu pula!”
Walaupun mulutku mengatakan aku tidak apa-apa, tetapi hatiku berkata lain. Aku sedikit terganggu dengan kehadiran surat tersebut.Pertanyaan demi pertanyaan datang silih berganti.Letih otakku memikirkan pertanyaan yang tiada jawapan pasti .Aku melihat semula surat tersebut.Aku teringat akan Dolphina! Ya Dolphina! Hatiku rasa lega sedikit.Adalah teman ni, fikirku.Dia dapatkah ? Persoalan itu mengendur semula rasa legaku.Apapun, aku mesti menghubunginya.Petang itu aku turun ke pekan Lawas.Aku hubungi Dolphina.Kami bersama pergi tempah tiket.Fuh!! Memeningkan kepala saja fikir banyak-banyak .Rupanya selesai satu masalah dah.
Perjalanan ke IAB tidaklah serumit yang difikirkan.Setibanya di lobi induk, aku melihat Assun, Mawar dan Jackson menaiki tangga sihat.Awalnya mereka sampai fikirku.Nampaknya rakan sekumpulan masa temuduga dulu semua dapat masuk IAB.Kesibukkan akan keadaan baru membuatku lupa akan kemelut perasaan yang akan aku hadapi sebentar lagi.Aku masuk ke bilikku.O.k juga fikirku.Tahu-tahu itulah penjara hujung mingguku.Malam itu air terjun “Niagara Falls” menyelubungi bilikku.Baru terasa apa itu terasing dalam bilik masing-masing.Sepanjang malam aku menangis terkenang akan anak manjaku.Tergiang di telingaku ….. “ mami ambil tuala, mami cari baju saya, mami masak mi, mami mandikan saya, mami itu, mami ini........” Aduh macam mana ini?.Rasa-rasanya esok nak balik sahaja ke Sarawak.Pula dah!
Minggu orientasi melenyapkan sedikit perasaan rinduku.Aktiviti-aktiviti yang dijalankan mampu melonggarkan sedikit kekusutan fikiranku.Kusut memikirkan semua yang ditinggalkan.Telatah Tn. Hj.Asnil dan Encik Dawi dalam aktiviti yang mereka kendalikan membuatku ketawa bagai nak rak.Ketawa sampai terkeluar airmata.Lupa akan kesedihan seketika.
Aktiviti “ jungle Tracking” amat menyeronokkanku.Berada di dalam hutan menerbitkan perasaan damai apabila melihat pokok-pokok yang merimbun dan daun-daun yang menghijau.Tiba-tiba hutan itu membuatku teringat akan suamiku.Mesti dia tak dapat pergi berburu di hutan pada hujung minggu lagi sebab tiada orang jaga anak manja kami.Kesitu pula fikirannya! Walaubagaimanapun aku sempat juga menderma darah kepada pacat di hutan itu.Dalam banyak-banyak perkara pada masa itu, Pn. Thia lah yang paling mencemaskan aku.Kecut perutku memandang muka pucatnya ketika menuruni cerun yang licin itu.Kasihan kawan.
Minggu pertama kuliahnya berlalu bagaikan angin sahaja.Bagaimana nak lekat asyik fikirkan keluarga yang ditinggalkan sahaja.Seharian berkuliah dapat juga mengurangkan ruang untuk bersedih.Malulah kelihatan congek.Pada petangnya menghilangkan kesedihan di gelanggang bola tampar ataupun ke pekan Gohtong.Hujung minggu pula pergi jelajah Low Yatt.Kami peserta dari Sarawak berpakat keluar dalam satu kumpulan.Kami jalan berduyun-duyun macam anak ayam kehilangan induk. Kasihannya bapa-bapa dan emak-emak budak ni!
Minggu-minggu seterusnya baru terasa bahawa bilik tidur kami merupakan penjara kami di hujung minggu.Keadaan ini amat terasa apabila aku tidak kemana-mana.Seluruh IAB diselubungi kesunyian yang sekali sekala dipecahkan oleh bunyi kapal terbang yang lalu dan bunyi brek kereta di lebuh raya.Selain dari tidur dan pasang lagu dari laptop aku menjerit-jerit menyanyi lagu apa saja yang terlintas dibibir walaupun burung diluar nak termuntah mendengar suara kucing nak terberanak tu!
Minggu berganti minggu.Bulan berganti bulan. Tanpa disedari aku sudah berbulan-bulan di IAB.Terasa begitu lama pada mulanya.Di peringkat terakhir ini macam baru kelmarin sahaja datang di IAB.Segala ilmu dan kenangan yang ku dapat darimu akan aku semat di sanubariku,IAB.Aku takkan melupakan semuanya.Terima kasih atas tunjuk ajarmu.Terima kasih atas bimbinganmu.Terima kasih kerana pensyarah-pensyarahmu yang mengajar kami dengan sabar tanpa jemu-jemu.Terima kasih kerana mengajar aku akan ertinya rindu dan kesepian.Terima kasih kerana mengajar aku menilai erti sebuah pengorbanan.Pengorbanan orang tersayang yang ditinggalkan.Kerana selama ini aku tak pernah berpisah sedemikian lama dari keluargaku.
Aku berazam IAB, bahawa aku takkan menyia-nyiakan ilmu yang ku dapat darimu.Akan aku aplikasikan segalanya semampuku.Baru aku tahu apa ertinya kata-kata cikgu Manggi bahawa aku janganlah terus-menerus menjadi kereta kancil. Aku harus keluar dari kotak. Jadilah kereta yang gagah perkasa di jalan raya.Aku harus ada penambahbaikan dalam kerjaya ku.Aku harus keluar dari “ comfort zone” ku.Tapi “comfort zone” ku ke di sekolah ni? Aku baru tiga tahun berpindah ke sini.Apapun dunia luar mesti dijelajahi.Mesti diterokai.Mesti! Nantikan aku SK Long Sukang.Perjuanganku belum berakhir.Aku rindukan perubahan wajahmu.Aku rindukan ceria tawa muridmu.Aku rindukan gurau senda guru-gurumu.Aku rindukan semua yang ada padamu.Sungguh!

Sunday, November 1, 2009

Kajian PPSMI

1. PENGENALAN

Sebagai sebuah negara yang sedang melangkah ke arah status negara maju, Malaysia perlu mewujudkan masyarakat yang saintifik dan progresif serta berilmu. Yakni masyarakat yang mempunyai daya perubahan yang tinggi, memandang jauh ke hadapan, inovatif serta menjadi penyumbang kepada tamadun sains dan teknologi masa depan. Bagi mencapai hasrat ini, kita perlu membentuk warganegara kritis, kreatif dan berketrampilan yang mengamalkan budaya sains dan teknologi serta competent dalam aplikasi pengetahuan matematik.

Sains dan Matematik adalah satu instrument untuk perkembangan sains dan teknologi dalam pembangunan negara. Untuk ini pelajar perlu terus memperkayakan ilmu dan pengetahuan dalam bidang sains dan teknologi khususnya untuk merealisasikan hasrat negara untuk menjadikan sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Sejajar dengan era knowledge science dan knowledge economy ukuran kemajuan sesuatu bangsa adalah melalui penguasaan ilmu khususnya dalam bidang sains dan teknologi. Rakyat Malaysia perlu menyahut cabaran ini dengan membudayakan ilmu sains dan teknologi dalam kehidupan seharian. Melalui pendidikan Sains dan Matematik juga dapat membantu dalam menyediakan pekerja yang mahir dan berkebolehan bagi pembangunan negara terutamanya dalam bidang ekonomi.

Dalam usaha mewujudkan pelajar yang celik sains, matematik dan Bahasa Inggeris, pendedahan dan peluang perlu diberikan kepada pelajar untuk meningkatkan lagi prestasi dan pencapaian dalam tempoh jangka panjang(2003-2008) dan jangka pendek (2003). Matlamat pendidikan untuk memastikan bahawa Bahasa Inggeris diajar dan diterap dalam dua subjek bagi murid tahun 1, mulai pada tahun 2003. Pengumuman ini disibar oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 2002 seperti mana yang terdapat pada petikan dari http://antibn.blogspot.com/2006/04/trend.penulisan.kritis.semasa.html,

“ pada tahun 2002, Perdana Menteri yang sama membuat pengumuman bahawa mata pelajaran sains dan matematik di sekolah akan diajar dalam bahasa Inggeris pada tahun berikutnya, iaitu 2003.”

Menjelang tahun 2010 adalah wajar untuk membentuk masyarakat yang saintifik dan progresif, berdaya cipta dan berpandangan jauh pada masa hadapan kelak.

Usaha projek jangka panjang dan pendek bertujuan menambah minat pelajar terhadap Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris . Irama dan lagu tidak dapat dipisahkan, begitu juga dengan Sains dan Matematik tidak dapat dipisahkan.

Mata-mata pelajaran yang wajib diajar dalam bahasa Inggeris pada tahun 2003 mengikut jenis sekolah adalah seperti berikut:-

a. Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil

i. Sains Tahun 1
ii. Matematik Tahun 1

b. Sekolah Menengah

i. Sains Tingkatan 1
ii. Matematik Tingkatan 1

c. Tingkatan Enam Rendah

i. Fizik
ii. Biologi
iii. Kimia
iv. Matematik S
v. Matematik T
vi. Matematik Lanjutan T
vii. Perkomputeran

Semua sekolah adalah digalakkan untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris mengikut kemampuan sekolah bagi tahun-tahun dan tingkatan-tingkatan lain.

2. LATAR BELAKANG

2.1 Dalam perubahan dunia sekarang dengan era sains dan teknologi dan ICT, global society akan menjadi satu realiti. Dalam menghadapi cabaran globalisasi ini dan ledakan maklumat masa kini, penguasaan Bahasa Inggeris adalah sangat penting kerana Bahasa Inggeris adalah bahasa ilmu dan bahasa hubungan antara bangsa.

2.2 Prestasi pelajar yang mempelajari Bahasa Inggeris selama 11 tahun bermula di peringkat sekolah rendah hingga ke sekolah menengah didapati prestasi masih belum memuaskan dan ini akan menyukarkan murid untuk mengekses maklumat dalam Bahasa Inggeris di peringkat awal. Dengan itu penguasaan Bahasa Inggeris yang baik adalah sangat penting yang akan memudahkan proses perolehan ilmu.

2.3 Justeru itu, atas kepentingan Bahasa Inggeris pihak kerajaan mencadangkan beberapa pendekatan untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di peringkat awal iaitu di kalangan pelajar. Antara cadangannya ialah persekolahan beralih kepada aliran Inggeris, Bahasa Inggeris sebagai alat pembelajaran, lebih banyak masa untuk pengajaran Bahasa Inggeris dan mewujudkan persekitaran yang membolehkan pelajar menguasai Bahasa Inggeris.

2.4 Memandangkan Sains dan Matematik adalah sangat penting dalam perkembangan era sains dan teknologi bagi pembangunan negara seperti yang telah diperkatakan maka satu cadangan telah dibuat iaitu mata pelajaran Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Inggeris. Ini akan memberi peluang kepada pelajar lebih awal meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris saintifik (dari aspek istilah, konsep dan prinsip sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris).

Selain daripada itu, bidang ilmu yang berkaitan dengan sains dan matematik pada masa kini sangat dinamik perkembangannya dengan pelbagai penemuan baru dan sebahagian besar maklumat yang berkaitan dengannya terdapat dalam Bahasa Inggeris yang disebarkan melalui pelbagai media dan bahan bacaan melalui ICT yang perlu diekses. Oleh itu, dengan adanya penguasaan Bahasa Inggeris dengan baik maka mudahlah ilmu diperoleh bagi menjana pembangunan negara yang berlandaskan sains dan teknologi.

2.5 Jemaah Menteri telah bermesyuarat pada 17 April 2002 dan membuat keputusan meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuat kajian dan membincangkan isu Bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pengantar bagi pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik.

Berikutan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia mula mengkaji dan berbincang melalui perbincangan dengan ahli akademik dan pendidik mulai 27 April 2002 dan kajian dokumen. Disamping itu pada 6 Mei 2002, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah mengesyorkan pengajaran Sains dan Matematik dilaksanakan dalam Bahasa Inggeris. Ini berdasarkan kepada kepentingan ilmu sains dan matematik dalam membantu pembangunan negara.

Kementerian Pendidikan Malaysia telah membuat kajian melalui dokumen-dokumen dan kajian ilmiah berdasarkan kepada isu keberkesanan penguasaan dwibahasa dalam perkembangan bahasa dan kognitif terhadap pelajar di Malaysia dan juga di luar negara seperti Amerika Syarikat, Singapura, Canada dan Switzerland.

Kajian dokumen yang telah dibuat oleh Kementerian Pendidikan Malaysia ialah:

(a) Bahasa Inggeris Sebagai Alat Pengajaran

"A more effective mean (to increase students’ proficiency in English) is for student to use English as a tool for learning"
(Prof. Chiam Heng Keng, UM, 2002)

"Lebih cepat bahasa-bahasa lain diperkenalkan selain bahasa ibunda, lebih cepat keupayaan pelajar fasih dalam kedua-dua bahasa dan menjadi pelajar bilingual yang pintar"
(McLaughin B, 1984)

(b) Bahasa Kedua dan Perkembangan Individu

"Penguasaan pelajar di dalam bahasa kedua penting untuk perkembangan individu"
(Lambert, 1962)

"Pelajar yang bilingual didapati mempunyai kemahiran kognitif termasuk kemahiran menyelesaikan masalah dan keupayaan berfikir yang lebih baik"
(Anisfield, 1964)

"Prestasi dan personaliti pelajar bilingual adalah lebih baik berbanding dengan monolingual"
(Nor Azmi Mustafa, UPSI, 2002)

(c) Bahasa Kedua dan Pencapaian Akademik

"Pelajar yang bilingual didapati mempunyai pencapaian akademik yang lebih baik daripada pelajar monolingual"
(Cummin and Swain, 1986)

"Pelajar berkemahiran bilingual yang baik lebih tinggi pencapaian akademik dibandingkan dengan pelajar berkemahiran bilingual sederhana, seterusnya lebih baik daripada pelajar yang kurang bilingual"
(Hayes, 1982)

Daripada kajian yang telah dibuat, jelas menunjukkan bahawa penguasaan bilingual amat penting dan berkesan untuk meningkatkan personaliti pelajar, prestasi akademik dan kemahiran kognitif pelajar. Hasil daripada kajian dan perbincangan dengan ahli akademik dan pendidik telah dikemukakan kepada Jemaah Menteri dan pada 8 Mei 2002 Jemaah Menteri disokong oleh Majlis tertinggi UMNO (10 Mei 2002) bersetuju Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Inggeris.

2.6 Merujuk pada Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.11/2002 bertarikh 27 November 2002 , iaitu Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan (SK) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Menengah (SM) Tingkatan Enam Mulai Tahun 2003.

Surat Pekeliling ikhtisas ini dikeluarkan dengan tujuan untuk memaklumkan tentang dasar pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris bagi semua Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Menengah (SM) dan Tingkatan Enam pada tahun 2003.

2.7 Merujuk pada Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.12/2002 bertarikh 27 November 2002 , iaitu Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mulai Tahun 2003.

Surat Pekeliling ikhtisas ini dikeluarkan dengan tujuan untuk memaklumkan tentang dasar pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris bagi semua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) pada tahun 2003.
2.8 Tujuan perlaksanaan PPSMI:

Dasar pelaksanaan PPSMI digubal adalah berasaskan hakikat bahawa Sains dan Matematik adalah bidang ilmu yang sangat dinamik dengan pelbagai penemuan baru dan sebahagian besar maklumat yang berkaitan dengannya terdapat dalam bahasa Inggeris. Matlamat akhir dasar ini adalah untuk membolehkan murid mengakses maklumat yang berkaitan melalui pelbagai media supaya mereka mampu menguasai ilmu Sains dan Matematik dan lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa di samping melahirkan generasi yang kukuh dalam penggunaan bahasa Inggeris.

2.8.1 Peruntukan Masa Pengajaran

i.Bagi Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, peruntukan masa dalam minit seminggu , bagi pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik untuk Tahun 1 adalah seperti berikut:-

Mata Pelajaran Jumlah Minit Seminggu
Sains 90
Matematik 210


ii.Peruntukan masa bagi Sekolah Menengah dan Tingkatan Enam adalah kekal dan mengikut peraturan sedia ada.
2.8.2 Sukatan Pelajaran

i.Sekolah-sekolah hendaklah mengguna pakai Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran dalam Bahasa Inggeris yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan bagi Sains, Matematik dan mata-mata pelajaran yang berasaskan sains mulai 2003.

ii.Bagi Tingkatan Enam, sekolah-sekolah hendaklah menggunakan Sukatan Pelajaran dalam Bahasa Inggeris yang disediakan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia.

2.8.3 Pentaksiran

i.Mulai tahun 2003 hingga tahun 2007, semua peperiksaan awam bagi mata pelajaran Sains dan Matematik akan disediakan dalam dwibahasa seperti berikut:

a. Sekolah Kebangsaan
Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris
b. Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil
Bahasa Tamil dan Bahasa Inggeris
c. Sekolah Menengah dan Tingkatan Enam
Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris

ii.Murid dibenarkan memilih untuk menjawab soalan peperiksaan bagi mata pelajaran tersebut dalam salah satu daripada dua bahasa atau dalam kedua-dua bahasa .

iii.Mulai tahun 2008, Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi mata pelajaran Sains dan Matematik di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil akan disediakan dalam Bahasa Inggeris sahaja. Mulai
tahun 2008 juga, semua peperiksaan awam bagi mata pelajaran Sains, Matematik dan mata-mata pelajaran lain yang berasaskan Sains dan Matematik di sekolah menengah, akan disediakan dalam Bahasa Inggeris sahaja.

Demi mencapai hasrat kerajaan, Kementerian Pendidikan Malaysia sedang berusaha melatih dan memproses guru-guru yang berkemampuan dalam pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris melalui pelbagai latihan dan kursus pembangunan . Dari petikan www.blgger.com/email.post.g?blogID=943853&postID=111321952367665510, Menteri Pendidikan Malaysia, Dato’ Hishammuddin bin Tun Hussein dalam soal jawab Parlimen menyatakan bahawa:

“sehingga 31 Januari 2005 jumlah guru di sekolah menengah yang mengajar mata pelajaran Sains adalah seramai 20,957 orang. Bagi sekolah rendah pula, jumlah guru yang mengajar mata pelajaran Sains adalah seramai 44,107 orang.
3. MASALAH KAJIAN
Kajian ini bertujuan untuk mengkaji masalah murid-murid tahun 3 dalam menguasai
istilah-istilah Sains dalam Bahasa Inggeris. Di samping itu, ia juga dapat menolong murid memahami maksud istilah dalam bentuk ayat dengan lebih berkesan. Nasarudin, pengurus sebuah sekolah menengah yang terlibat sepenuhnya dengan PPSMI menyatakan masalah beliau pada http://z14.invisionfree.com/Forum_Myschoolnet/index.php?showtopic=68 ,

“satu masalah utama dalam pengajaran PPSMI iaitu menguasai istilah atau maksud perkataan. Masalah ini dihadapi oleh guru dan pelajar yang lemah dalam BI.”

Seorang guru sains tahun 4 juga memaklumkan masalah pengajaran sains dalam bahasa inggeris pada laman web yang sama. Mengikut beliau, “kesukaran untuk mengajar subjek tersebut timbul apabila murid bukan melayu saya (suku kaum penan) perlu memahaminya dalam bahasa melayu terlebih dahulu sebelum memahami istilah sains dalam bahasa inggeris.”

4. SOALAN KAJIAN
a. Apakah tahap kefahaman pelajar tentang istilah-istilah Sains dalam Bahasa Inggeris?
b. Adakah terdapat perbezaan kefahaman pelajar mengikut jantina tentang istilah-istilah Sains dalam Bahasa Inggeris?
c. Apakah pandangan pelajar terhadap kemudahan untuk menguasai istilah-istilah Sains dalam Bahasa Inggeris?
d. Adakah terdapat perbezaan pandangan pelajar mengikut jantina terhadap kemudahan untuk menguasai istilah-istilah Sains dalam Bahasa Inggeris?

5. METODOLOGI

5.1 Kaedah

(i)Pemerhatian : Pemerhatian ini dijalankan secara tidak langsung oleh guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Guru-guru diberikan beberapa aspek tertentu untuk dinilai semasa pembelajaran.

(ii)Soal Selidik :Pengkaji mendapat data murid melalui soal selidik yang diedarkan kepada murid-murid.

(iii)Temubual :Temubual dijalankan secara tidak formal. Temubual ini adalah mendapatkan gambaran kasar daripada guru yang membuat ujian lisan kepada murid-murid.

(iv) Ujian Pra :Ujian pra dibuat untuk melihat tahap awal kebolehan melengkapkan ayat dengan istilah yang betul. Di dalam ujian ini seramai 25 orang pelajar Tahun 3 terlibat. Hasil daripada ujian ini, pengkaji akan memilih sampel pelajar yang mempunyai tahap penguasaan kemahiran istilah Sains yang sangat lemah. Seramai 12 pelajar telah dikenalpasti tidak
boleh menjawab soalan mengisi tempat kosong dengan istilah Sains dalam bentuk ayat.



















5.2 Instrumen

UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS
35900 TANJONG MALIM
PERAK DARUL RIDZUAN

Soal Selidik Penguasaan Istilah Sains Dalam Bahasa Inggeris
BAHAGIAN A
Arahan : Sila tandakan  pada pilihan yang berkaitan
1. Jantina Lelaki
Perempuan

2. Tahun 1
2
3

3. Bangsa Melayu
Cina
India
Lain-lain

4. Lokasi Sekolah Bandar
Luar Bandar





BAHAGIAN B
Arahan : Sila tandakan  pada tahap persetujuan anda mengikut panduan berikut.
1 Sangat tidak setuju
2 Tidak setuju
3 Tidak pasti
4 Setuju
5 Sangat setuju
1. Saya tahu apa itu PPSMI 1 2 3 4 5
2. Saya telah diberi penjelasan tentang pelaksanaan
PPSMI 1 2 3 4 5
3. Saya sentiasa mengikuti kelas PPSMI 1 2 3 4 5
4. Saya tahu bagaimana belajar istilah sains dalam
Bahasa Inggeris 1 2 3 4 5
5. Saya boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris 1 2 3 4 5
6. Saya kerap bertutur Bahasa Inggeris dalam sekolah 1 2 3 4 5
7. Bahasa pertuturan utama saya di sekolah ialah Bahasa Inggeris 1 2 3 4 5
8. Saya kerap bertutur Bahasa Inggeris di rumah 1 2 3 4 5
9. Bahasa pertuturan utama saya di rumah ialah Bahasa Inggeris 1 2 3 4 5
10. Saya selalu membaca bahan bacaan dalam Bahasa Inggeris 1 2 3 4 5
11. Saya kerap mengulangkaji istilah sains Bahasa Inggeris 1 2 3 4 5
12. Saya mempunyai kamus Bahasa Inggeris di rumah 1 2 3 4 5
13. Saya kerap menggunakan kamus untuk mencari makna istilah sains Bahasa Inggeris 1 2 3 4 5
14. Saya dapat menulis Bahasa Inggeris dengan baik 1 2 3 4 5
15. Saya berminat belajar istilah sains Bahasa Inggeris 1 2 3 4 5
16. Pengajaran guru sains Bahasa Inggeris mudah difahami 1 2 3 4 5
17. Saya berasa mudah menguasai istilah sains Bahasa Inggeris 1 2 3 4 5
18. Saya mendapat banyak kebaikan daripada belajar istilah sains Bahasa Inggeris 1 2 3 4 5
19. Saya sedar bahawa penguasaan istilah sains Bahasa Inggeris sangat penting 1 2 3 4 5
20. Saya bersedia menambahbaikkan penguasaan istilah sains Bahasa Inggeris 1 2 3 4 5


5.3 Sampel
Kumpulan sampel yang terlibat dalam kajian ini ialah seramai 25 orang murid daripada murid Tahun 3. Murid lelaki seramai 11 orang manakala murid perempuan seramai 14 orang. Murid-murid kelas ini bolehlah dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu kumpulan cemerlang seramai 8 orang murid, sederhana seramai 12 orang murid, dan lemah seramai 5 orang murid.

5.4 Tempat kajian
SJK (C) Hwa Lian No. 2, 32300 Pulau Pangkor, Perak. Sekolah yang dijadikan tempat kajian adalah sebuah sekolah yang terletak di atas sebuah pulau di Negeri Perak. Sekolah ini mempunyai 10 buah bilik darjah. Terdapat seramai 224 orang pelajar dan 14 orang guru termasuk seorang guru besar dan seorang penolong kanan di sekolah ini.

Secara amnya kebanyakan pelajar di sini terdiri daripada anak-anak dari ibubapa yang berpendapatan rendah dan sederhana. Kebanyakan daripada mereka adalah kaum nelayan dan penjaja. Ibubapa mereka juga mempunyai taraf pendidikan yang sederhana iaitu di antara tamat darjah enam hingga ke peringkat SPM.
Dengan latar belakang sosio ekonomi dan pendidikan keluarga yang rendah, pencapaian akademik pelajar hanya pada tahap sederhana sahaja.

6. DAPATAN KAJIAN

Analisis Ujian Pra

Bahagian
Bil Kesalahan A B C D
Semua betul 21 - 6 18
1 - 2 soalan 2 10 5 7
3 - 4 soalan 2 5 2 -
5 - 6 soalan - 8 7 -
7 - 8 soalan - 2 5 -





Analisis Soal Selidik
Bil Pernyataan 1 2 3 4 5
Bil(%) Bil(%) Bil(%) Bil(%) Bil(%)
1. Saya tahu apa itu PPSMI 6(24) 5(20) 4(16) 7(28) 3(12)
2. Saya telah diberi penjelasan tentang pelaksanaan
PPSMI 3(12) 2(8) 5(20) 10(40) 5(20)
3. Saya sentiasa mengikuti kelas PPSMI - 5(20) 6(24) 6(24) 8(32)
4. Saya tahu bagaimana belajar istilah sains dalam
Bahasa Inggeris - - 20(80) 2(8) 3(12)
5. Saya boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris 12(48) 4(16) 5(20) 4(16) -
6. Saya kerap bertutur Bahasa Inggeris dalam sekolah 15(60) 7(28) 3(12) - -
7. Bahasa pertuturan utama saya di sekolah ialah Bahasa Inggeris 14(56) 6(24) 5(20) - -
8. Saya kerap bertutur Bahasa Inggeris di rumah 10(40) 8(32) 4(16) 2(8) 1(4)
9. Bahasa pertuturan utama saya di rumah ialah Bahasa Inggeris 5(20) 10(40) 8(32) 1(4) 1(4)
10. Saya selalu membaca bahan bacaan dalam Bahasa Inggeris 4(16) 4(16) 10(40) 3(12) 4(16)
11. Saya kerap mengulangkaji istilah sains Bahasa Inggeris 4(16) 5(20) 6(24) 5(20) 5(20)
12. Saya mempunyai kamus Bahasa Inggeris di rumah - - 2(8) 3(12) 20(80)
13. Saya kerap menggunakan kamus untuk mencari makna istilah sains Bahasa Inggeris 8(32) 7(28) 5(20) 3(12) 2(8)
14. Saya dapat menulis Bahasa Inggeris dengan baik 8(32) 4(16) 12(48) 1(4) -
15. Saya berminat belajar istilah sains Bahasa Inggeris 8(32) 6(24) 5(20) 4(16) 2(8)
16. Pengajaran guru sains Bahasa Inggeris mudah difahami 1(4) 1(4) 2(8) 18(72) 3(12)
17. Saya berasa mudah menguasai istilah sains Bahasa Inggeris 2(8) 20(80) 3(12) - -
18. Saya mendapat banyak kebaikan daripada belajar istilah sains Bahasa Inggeris 1(4) 3(12) 2(8) 16(64) 3(12)
19 Saya sedar bahawa penguasaan istilah sains Bahasa Inggeris sangat penting 3(12) 3(12) 3(12) 8(32) 8(32)
20. Saya bersedia menambahbaikkan penguasaan istilah sains Bahasa Inggeris 2(8) 1(4) 2(8) 15(60) 15(20)


7. PERBINCANGAN

Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa berdasarkan analisis jadual di atas, didapati bahawa bahagian B dan C adalah paling lemah. Ini adalah kerana kebanyakan murid tidak memahami struktur ayat dalam Bahasa Inggeris. Oleh sebab Bahagian A dan D ada gambar, jadi berdasarkan gambar, murid dapat padankan istilah dengan tepat.

Berdasarkan data maklumat yang dikumpul menunjukkan bahawa murid-murid kurang membaca bahan bacaan yang berkaitan dengan sains dalam Bahasa Inggeris. Mereka juga jarang bertutur dalam Bahasa Inggeris biarpun semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan mahupun di rumah.

Berdasarkan soal selidik yang dikaji, murid-murid didapati lebih berminat mata pelajaran lain berbanding dengan Sains dalam Bahasa Inggeris. Walaupun ada 92% murid memiliki kamus Bahasa Inggeris, tetapi mereka tidak menggunakan dengan sepenuhnya. Hakikat ini jelas kelihatan dan sama seperti apa yang dihadapi di sebuah sekolah menengah. Pengurus sekolah tersebut, En. Nasarudin dalam petikan masalah dalam pengajaran PPSMI, masalah guru dan pelajar yang disiarkan pada http://z14.invisionfree.com/Forum_Myschoolnet/index.php?showtopic=68 . berkata bahawa:

“ masalah ini berkaitan dengan kamus. Secara amnya hanya 20% pelajar memiliki kamus sendiri.”

Oleh yang demikian, Jawatankuasa PPSMI perlu mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan penguasaan istilah sains di kalangan murid-murid. Program atau aktiviti yang berikut dicadangkan supaya dapat dilaksanakan di sekolah oleh Jawatankuasa PPSMI.

i. Mesyuarat kepada guru-guru sekurang-kurangnya 4 kali setahun.
ii. Panitia Sains dan Bahasa Inggeris bekerjasama untuk menyediakan program khas untuk membantu meningkatkan profisiensi dan keyakinan guru yang melaksanakan PPSMI.
iii. Memantapkan Jawatankuasa BUDDY SUPPORT SYSTEM di sekolah.
iv. Menyiarkan lagu kanak-kanak dalam Bahasa Inggeris (POEM/RHYME).
v. Menyediakan sudut Bahasa Inggeris dan sudut PPSMI di dalam bilik darjah.
vi. Mengadakan aktiviti “ learn a word a day” atau “learn a sentence a week”.
vii. Menjalankan aktiviti “Day Camp”.
viii. Mengadakan “English Week”.
ix. Melaksanakan Program Nilam.
x. Menjalankan aktiviti Bacaan Subuh.
xi. Mengadakan “Story Telling Competition".

8. IMPLIKASI

A. PENILAIAN PENCAPAIAN MURID
Setelah program-program yang dijalankan untuk meningkatkan kemahiran menguasai istilah-istilah sains dalam Bahasa Inggeris iaitu pembelajaran berkumpulan dan pengajaran berpusatkan murid dijalankan, didapati kesalahan-kesalahan yang dibuat oleh murid apabila menggunakan istilah-istilah sains dalam Bahasa Inggeris semakin berkurang.

Hakikat ini menunjukkan bahawa amalan pengajaran dan pembelajaran secara individu serta berpusatkan guru lebih membosankan. Ini menyebabkan murid-murid tidak berminat untuk belajar dan seterusnya tidak dapat menjawab soalan-soalan yang dikemukakan kepada mereka.

B. RUMUSAN PEMERHATIAN

Penilaian pencapaian murid menunjukkan bahawa kemahiran setiap murid boleh dipertingkatkan lagi jika masalah sebenar yang dihadapi oleh mereka dalam proses pengajaran dan pembelajaran dapat diatasi.

Guru perlu sentiasa peka terhadap sikap dan reaksi murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Murid-murid yang kurang aktif dan sentiasa berdiam diri serta menunggu jawapan guru perlulah lebih diberi perhatian.

Pengkaji merasa gembira terhadap perubahan sikap murid-murid yang menjadi lebih aktif dalam waktu pengajaran dan pembelajaran. Walaupun peningkatan pencapaian mereka tidaklah sebegitu tinggi, namun ini amat memberi makna dan manfaat kepada murid-murid. Justeru itu ia telah memberi peluang untuk menjana pemikiran murid-murid.

C. PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan memberi peluang kepada murid-murid untuk berbincang dan menyatakan idea mereka semasa membentangkan hasil perbincangan mereka secara aktif.

Amalan sebegini jikalau dilaksanakan dan dipraktikkan selalu akan dapat mematangkan pemikiran murid ke arah pemikiran kritis dan kreatif dalam pembelajaran. Murid-murid juga akan merasa amat seronok belajar mata pelajaran Sains dalam Bahasa Inggeris. Di samping itu, murid-murid juga akan mendapat pencapaian yang lebih cemerlang dalam peperiksaan.

Di dalam pengajaran terdapat sekurang-kurangnya 4 kemahiran yang perlu dipelajari iaitu kemahiran mendengar, kemahiran bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Oleh itu guru tidak lari daripada hakikat bahawa memang terdapat hubungan diantara alat bantu mengajar dengan jenis-jenis kemahiran yang perlu dipelajari. Mat Nor Hussin dan Ab. Rahman Ab. Rashid (1988) telah menegaskan sedemikian,

“ Pembelajaran merupakan satu proses yang cergas, perlu dirangsang dan dibimbing ke arah matlamat yang diingini. Dalam hal ini, alat-alat bantu mengajar yang menggunakan berbagai-bagai pancaindera sangat memberi kesan”(p6).

Abd Majid Mohd Isa dan Rahil Mahyuddin (1998) menegaskan bahawa dalam peringkat teori perkembangan kognitif Piaget yang ketiga iaitu olahan konkrit (7 hingga 12 tahun) mendapati:

“ kanak-kanak boleh memahami dan menggunakan konsep untuk membantunya berinteraksi dengan persekitarannya” (p.43). Mereka juga menyatakan bahawa “untuk mengikuti perkembangan teknologi, kanak-kanak perlu tahu membaca , mengira dan menulis”(p.36).

Di sekolah, tahap kemahiran membaca dan menulis secara tersurat dan tersirat ada dinyatakan dalam sukatan pelajaran. Guru mestilah peka dengan keperluan sukatan pelajaran. Ini penting kerana kadangkala ada guru yang berbalah tentang apa yang perlu diajar, bila patut diajar dan tahap mana perlu diajar.

Penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran dapat membawa kepada sikap yang positif di kalangan murid-murid. ICT dapat membantu mengatasi kelemahan pendidikan sains yang diajar secara tradisional serta penglibatan guru dalam penggunaan komputer lebih berkesan. Ini ditegaskan oleh Rusmini Ku Ahmad (Jun 2003), bahawa

“Penggunaan ICT sebagai alat komunikasi merupakan serampang dua mata dalam perkongsian maklumat dan komunikasi. Guru boleh mengambil peluang daripada keupayaan ini untuk menjalankan pembelajaran kolaboratif di dalam kelas”(p89).

Penyediaan sudut pembelajaran dalam kelas harus dibekalkan dengan pelbagai bahan pengajaran dan pembelajaran. Ini menyenangkan kerja guru dan proses pembelajaran yang berterusan di kalangan murid-murid. Di sekolah konsep Self-Access Learning perlu ditekankan dan diwujudkan supaya menjadi pendorong dan pemangkin serta penyokong kepada pengajaran dan pembelajaran pelajar.

Koleksi catatan kejayaan pengetua-pengetua kanan Malaysia memajukan sekolah mendifinasikan bahawa Self-Access Learning ialah

“ A programme where learning material are disigned and organised in such a away that students can select and work on tasks on their own and obtain feedback on their performance” (p54).

Selain daripada itu pelajar yang mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh sekolah, pembelajaran mereka akan terjamin. Melalui pengurusan disiplin yang baik, nilai moral pelajar dapat dibentuk ke tahap yang memuaskan dan suasana bilik darjah menjadi kondusif untuk proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar. Ini telah ditegaskan oleh Mohd. Ismail Othman (2004),

“Pengurusan disiplin yang cekap membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan secara licin dan teratur. Suasana pengajaran dan pembelajatan menjadi tenang dan pelajar dapat memahami kandungan pengajaran dengan lebih sempurna”(p79).

9. CADANGAN

Dapatan kajian dan kesan tindakan ini menunjukkan perubahan pencapaian dan penguasaan murid-murid dalam penggunaan istilah-istilah sains dalam Bahasa Inggeris.

Di samping itu, murid-murid Tahun 3 telah menunjukkan perubahan sikap yang lebih positif dalam pembelajaran Sains dalam Bahasa Inggeris. Melalui refleksi dapatan kajian ini, pengkaji bercadang untuk terus menjalankan pengajaran dan pembelajaran seperti dalam kajian ini untuk setiap kelas Sains dalam Bahasa Inggeris khususnya bagi murid Tahap 1. Program ini dapat membantu murid-murid untuk memahami kehendak soalan-soalan jenis pemahaman dan meningkatkan teknik menjawab soalan jenis tersebut.

Dengan ini, beberapa cadangan perlu dibuat untuk meningkatkan lagi pengetahuan dan penguasaan kemahiran menjawab soalan yang diberikan. Justeru itu, pengkaji perlu membuat ulangkaji dan penerangan ringkas kepada murid-murid supaya mereka tidak lupa.













BIBLIOGRAFI
Curriculum Development Centre Ministry of Education Malaysia (2003). Curriculum
Specifications Science Year 3. Kuala Lumpur, Kementerian Pelajaran Malaysia.
Md. Arris Bin Abu Yamin, Rohana Binti Hussin dan Haslinda Binti Ropa’ai (2004). Text
Book Science Year 3. Anzagain Sdn. Bhd. Selangor.
Md. Arris Bin Abu Yamin, Rohana Binti Hussin dan Haslinda Binti Ropa’ai (2004). Activity
Book Science Year 3. Anzagain Sdn. Bhd. Selangor.
Huaren Education Foundation. (2005). Science Year 3 Teacher’s Guide. Eliteguh Sdn. Bhd.
Kuala Lumpur.
Irene Nonis(2005). New KBSR Science Year 3.EPH Publishing (M) Sdn. Bhd.
Lim Yoke Moi(2005). Latihan Topikal Cabaran New Era Science Year 3. EPH Publishing
(M) Sdn. Bhd.
Lim Yoke Moi (2005). Reinforcement Series Excel Science Year 3. EPH Publishing (M)
Sdn. Bhd.
L. Shirley (2005). Praktis Topikal Bestari Science Year 3. Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Mat Nor Hussin, Ab. Rahman Ab. Rashid(1988).Alat Bantu Mengajar Dalam Pengajaran
Bahasa:Takrif Alat Bantu Mengajar.Longman Malaysia Sdn. Bhd.
Mohd. Ismail Othman(2004).Undang-Undang untuk Pengetua dan Guru Besar:Peraturan
dan perundangan disiplin di sekolah.PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Abd Majid Mohd Isa, Rahil Mahyuddin(1998).Psikologi Pendidikan 1:Teori dan peringkat
perkembangan jasmani, emosi dan kognitif.Longman Malaysia Sdn. Bhd.
Rusmini Ku Ahmad(2003). Intergrasi teknologi maklumat dan komunikasi dalam pengajaran
dan pembelajaran. Jurnal IAB, Jld 13 Bil 01, ms 89.
Kementerian Pendidikan Malaysia(2002).Jejak-jejak Kecemerlangan Dalam Pengurusan
Sekolah:Budaya ilmu yang mantap penjana kecemerlangan sekolah. IAB.
Kementerian Pendidikan Malaysia(2002),Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 11/2002 bertarikh 17
November 2002.Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris, di Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Menengah (SM) dan Tingkatan Enam Mulai Tahun 2003.
Kementerian Pendidikan Malaysia (2002),Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 12/2002 bertarikh 27
November 2002.Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik
Dalam Bahasa Inggeris Di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina(SJKC) Mulai
Tahun 2003.
http://z14.invisionfree.com/Forum_Myschoolnet/index.php?showtopic=68.Masalah dalam
Pengajaran PPSMI, Masalah guru dan pelajar.
www.blgger.com/email.post.g?blogID=943853&postID=111321952367665510. Soal Jawab
Parlimen.
http://antibn.blogspot.com/2006/04/trend.penulisan.kritis.semasa.html.

Pengurusan Sumber Manusia

PENGURUSAN DAN SUMBER MANUSIA
ABSTRAK
Sumber manusia ditakrifkan sebagai sekumpulan kakitangan dan pekerja yang berkhidmat dengan sesebuah organisasi. Apabila memperkatakan topik sumber manusia, kita tidak boleh lari dari hakikat bahawa kumpulan manusia ini ditadbir atau dipimpin oleh seorang ketua yang diwakilkan oleh organisasinya dengan menggunakan metodoloji pengurusan sumber manusia. Pemimpin ini biasanya digelar Pengurus Sumber Manusia.
Perancangan sumber manusia pula menuntut pengurusan sumber manusia mengenali kehendak kakitangannya hasil daripada kerjanya sekaligus kehendak organisasi ke atas kakitangan berkenaan. Cabaran kepada pengurusan sumber manusia ialah bagaimana menjadi 'orang tengah' bagi merancang dengan teliti cara untuk menemukan kedua-dua kehendak ini secara kualitatif dan kuantitatif.
1.1 Keperluan dan Kehendak Sumber Manusia
Persoalannya apakah sebenarnya yang dikehendaki oleh kakitangan dan pekerja sesebuah organisasinya hasil sumbangan kerja yang telah dicurahkan kepada majikannya (organisasi)?
Pakar pemotivasi dan pembinaan pasukan mendefinisikan kehendak ini sebagai 'motivator' atau 'pemotivasi' kerja dan produktiviti. Pakar kualiti pula menggelarkan kakitangan dan pekerja dari satu perspektif sebagai "pelanggan dalaman" yang perlu dipenuhi kehendak dan kepuasannya menerusi spesifikasi yang tepat oleh "pembekal dalamannya" ketika itu iaitu organisasi. Teori asas ekonomi dan perdagangan menekankan perkara ini sebagai sebahagian daripada keperluan asas (prerequisites) kemanusiaan untuk kesinambungan hidup. Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 mendefinisikan sebahagian keperluan ini sebagai menjaga "kebajikan" pekerja.
Walau apapun pendapat dan haipotesis yang diberikan, pada amnya keperluan pekerja dan kakitangan boleh dibahagikan kepada dua kategori :-
a) Keperluan Nyata (tangible) - berbentuk kewangan seperti bonus, gaji, elaun, pampasan dsb. Selain itu, hadiah berupabentuk material seperti piala, lencana, surat pujian dan sebagainya juga termasuk dalam keperluan yang nyata.
b) Keperluan Tidak Nyata (intangible) - berbentuk pujian dari majikan, kepuasan bekerja, status, kuasa membuat keputusan sendiri dalam skop kerja, proses kerja fungsi silang, kesesuaian pergaulan dengan rakan sekerja, rasa pemilikan serta bangga bekerja dengan organisasi dan lain-lain.
1.2 Keperluan Organisasi Terhadap Sumber Manusia
Tidak mungkin sesebuah organisasi boleh wujud tanpa sumber manusia yang membantunya. Walaupun perniagaan individu sekalipun memerlukan kerjasama dari sumber manusia dari luar atau rakan-rakan perniagaan lain untuk wujud.
Berasaskan kenyataan ini, maka organisasi perlu mengenalpasti kehendak pekerja dan kakitangannya bagi memuaskan "spesifikasi" yang diletakkan oleh mereka demi mencapai objektif meningkatkan produktiviti, kualiti, keuntungan sekaligus kos yang optima.
Objektif ini hanya akan dapat dicapai menerusi perancangan yang teliti ke atas sumber manusia. Namun begitu, organisasi tidak wajar mengurus dan merancang sumber manusia dengan menyamakan mereka dengan pengurusan dan perancangan sumber-sumber material, teknologi, dokumen, data dan rekod atau kewangan. Apa yang perlu difahami oleh organisasi ialah pekerja mereka memerlukan kepuasan daripada kerja yang mereka lakukan supaya masa dan kemahiran mereka dapat dirancang dengan baik.

Kepimpinan Transformasi

KEPIMPINAN TRANSFORMASI


1. PENGENALAN
Kepimpinan transformasi pada mulanya disarankan oleh James Mac Gregor Burns dalam tahun 1978 dalam bukunya ‘Leadership’. Manakala Bass (1985) pula telah menghurai idea-idea kepimpinan transformasi yang berfokus kepada meningkatkan kesedaran tentang isu-isu kepimpinan yang mempunyai wawasan, keyakinan diri, kekuatan dalaman untuk memperjuangkan apa yang dirasakan baik serta benar baginya dan bukannya sesuatu yang popular pada masa itu. Teori kepimpinan transformasi ini muncul hasil daripada gabungan Teori Sifat dan Teori Tingkahlaku.Kesan daripada kepimpinan mereka tidak sahaja menyebabkan pengikut dapat memenuhi jangkaan prestasi tetapi dapat melepasi prestasi yang dijangkakan itu.
Menurut Sosik (1997) kumpulan yang bekerja di bawah kepimpinan transformasi menjana lebih banyak penyelesaian yang tulen, kata-kata yang menyokong, penghuraian soalan-soalan tentang penyelesaian dan melaporkan peringkat prestasi yang tinggi serta usaha yang lebih dan kepuasan terhadap pemimpin berbanding kumpulan yang bekerja di bawah kepimpinan transformasi yang rendah. Perkataan transform bermakna ‘mengubah sesuatu’. Seorang pemimpin transformasi adalah seorang yang mampu mengubah sifat-sifat negatif mereka yang dipimpinnya menjadi sifat-sifat positif.


Falsafah di sebalik teori kepimpinan transformasi ialah dengan mengubah sifat-sifat dan cara berfikir individu-individu yang dipimpin dan yang akan menghasilkan perubahan kepada budaya organisasi yang dipimpin. Kepimpinan transformasi berfokus kepada apa yang berjaya dilaksanakan oleh si pemimpin, dan bukannya pada ciri-ciri peribadi pemimpin itu ataupun gaya perhubungan antara pemimpin dan pengikut.
Kepimpinan transformasi sering dianggap sama dengan kepimpinan Transaksi kerana kedua-duanya ke arah membentuk komitmen pengikut untuk mencapai objektif. Namun, jika ditinjau secara teliti, terdapat perbezaan di antara kedua-duanya. Kepimpinan Transformasi mendorong pengikut untuk mengutamakan kepentingan kelompok demi mencapai matlamat organisasi berbanding dengan kepimpinan Transaksi yang mendorong pengikut dengan tarikan kepentingan diri.
Perbezaan yang wujud di antara gaya kepimpinan Transaksi dan kepimpinan Transformasi mula-mula dikemukakan oleh Pro. J.M. Burns pada tahun 1978. Pendapat-pendapat beliau sangat berpengaruh sehingga kini. Burns disokong oleh ramai penyelidik lain yang menjalankan kajian masing-masing berdasarkan teorinya itu. Bukti-bukti empirical yang menyokong Teori Burns dikemukakan oleh pakar seperti Prof. Bernard Bass yang mencipta instrumen khusus untuk mengukur tingkahlaku para pemimpin Transaksi dan para pemimpin Transformasi. Beliau berhasil mengutip data sebagai bukti bahawa gaya kepimpinan Transformasi adalah lebih berkesan dibandingkan dengan gaya Transaksi. Menurut Avolio dan Bass (1988); Hollander (1978) dan Kuhnert dan Lewis (1987) bahawa pendekatan kedua-dua kepimpinan itu membantu subordinat mengetahui jenis kelakuan yang dikehendaki untuk memperolehi sesuatu kesan. Canger dan Kanunga (1986) berpendapat bahawa pemimpin seperti itu adalah mereka yang mempunyai karisma yang tinggi yang mampu membentuk kelakuan seperti setia, berkomitmen dan menyerah jiwa raga.

2. DEFINISI

Berbagai definisi diberikan tentang kepimpinan Transformasi. Carlson dan Perrewe (1995) memberikan definisi tentang kepimpinan Transformasi.
Gaya kepimpinan transformasi merupakan satu proses yang membenarkan wawasan pemimpin dikembangkan segera ke seluruh organisasi. Ini merujuk kepada proses mempengaruhi yang membawa kepada perubahan besar dalam sikap kakitangan agar matlamat organisasi dan wawasan pemimpin dapat dicapai.
(Carlson dan Perrewe, 1995)



Definisi lain tentang kepimpinan Transformasi adalah oleh Burns (1978).


Pemimpin Transformasional mengenalpasti dan mengeksploitasi keperluan sedia ada atau kemahuan pengikut-pengikut yang berpotensi. Lebih daripada itu, pemimpin transformasi sebenarnya melihat ‘potentil movies’ pada pengikut-pengikutnya, berusaha untuk memenuhi keperluan aras tinggi dan mengikat seluruh jiwa pengikutnya. Hasil dari Kepimpinan Transformasi ini ialah perhubungan yang saling merangsang dan berupaya mengubah pengikut-pengikut menjadi pemimpin dan mungkin mengubah pemimpin menjadi agen-agen moral.”
(Burns, 1978)



Yuji (1989) mendefinisikan Kepimpinan Transformasional sebagai
“ Satu proses untuk mempengaruhi perubahan-perubahan yang besar dan dari segi sikap dan andaian-andaian ahli-ahli sesebuah organisasi dan membina komitmen untuk mencapai misi, objektif dan strategi organisasi berkenaan”.
(Yuji, 1989).


Menurut Philip L. Hunsaker (1986),
“Pemimpin transformasi adalah pemimpin yang memiliki pengaruh yang dapat mengatasi individu yang berinteraksi secara telus dengan mereka. Melalui visi, tindakan dan pengaruh, mereka mengubah arah aspek-aspek yang besar dalam organisasi.”


Menurut Salleh Lebar (2000),
“ Kepimpinan Transformasi memfokuskan kepada peringkat moral dan motivasi dalaman yang tinggi dalam menjalankan sesuatu tugas. Kepimpinan jenis ini memerlukan seorang yangbersifat kemanusiaan, adil, jujur dan tidak emosional, tidak tamak dan tidak mencemburui kakitangannya.”
(Salleh Lebar, 2000)



Gary Yukl (1998) pula mendefinisikan kepimpinan Transformasi dengan merujuk kepada proses pembinaan komitmen ke arah objektif organisasi dan penurunan kuasa kepada para pengikutnya untuk memenuhi objektif-objektif tersebut. Pemimpin juga menggalakkan subordinatnya supaya bertindak menggunakan keyakinan diri mereka sendiri demi kebaikan sesebuah organisasi. Selain daripada itu, pemimpin juga dapat mempengaruhi subordinatnya secara luar biasa.




3. TAKRIFAN-TAKRIFAN LAIN KEPIMPINAN TRANSFORMASI

Kepimpinan Transformasi dianggap sebagai kepimpinan perubahan di mana pemimpin yang menggunakan gaya kepimpinan ini percaya mereka boleh mendorong subordinat supaya mengubah nilai dan sikap mereka dengan adanya komitmen terhadap matlamat organisasi.
Bennis dan Nanus (1985), menyatakan “ kebolehan pemimpin membantu dan menterjemah motif dan matlamat di kalangan pengikut untuk mencapai perubahan signifikan melalui kepentingan dan tenaga bersama secara kolektif”.Bass (1985) pula menyatakan, “ bekerja untuk mengubah nilai kepercayaan orang bawahan untuk mengubah budaya sesebuah organisasi”.
Kepimpinan Transformasi juga dikenali sebagai kepimpinan moral yang menitik beratkan moral dan motivasi yang tinggi di kalangan pengikut dalam melaksanakan tugas masing-masing. Kepimpinan jenis ini memerlukan seseorang yang bersifat kemanusiaan, adil, jujur dan tidak emosional, tidak tamak dan tidak mencemburui subordinat.

4. ANDAIAN-ANDAIAN TENTANG TEORI KEPIMPINAN
TRANSFORMASI

Berbagai andaian digambarkan berkaitan dengan teori kepimpinan Transformasi. Antaranya ialah:
• Kepimpinan adalah sebagai satu proses yang dinamik apabila pengikut rela menerima pengaruh pemimpin.
• Penerimaan bergantung kepada proses pertukaran di mana pemimpin memberi serta memperolehi sesuatu sebagai balasan.
• Tanggapan pengikut terhadap tindakan dan aspirasi pemimpin adalah unsur paling penting dalam teori ini.
• Pemimpin berinteraksi dengan pengikut dalam keadaan yang terjamin.
• Sumber kuasa yang dimiliki oleh pemimpin diperolehi sama ada daripada pihak atasan atau daripada semangat kesetiaan yang ditunjukan oleh pengikut.

5. UNSUR-UNSUR UTAMA TEORI KEPIMPINAN TRANSFORMASI
Unsur paling utama dalam kepimpinan Transformasi ialah pengikut menaruh harapan yang tinggi terhadap pemimpin dan menghargai sumbangan pemimpin kepada mereka. Kumpulan pula berfungsi sebagai satu sistem di mana input kumpulan diperolehi daripada ahli kumpulan sendiri dan merekalah yang menghasilkan output yang diharapkan.

6. PEMIMPIN DAN KEPIMPINAN TRANSFORMASI

Kepimpinan Transformasi juga dikenali sebagai kepimpinan karismatik ( Max Weber, 1968). Kepimpinan Inspirational atau Institutional ( Hunsaker, 1986). Asas kepada teori ini adalah pemimpin-pemimpin mengilhamkan atau menginspirasikan para pengikutnya untuk mengenalpasti minat mereka dan melihat ke arah tujuan yang berfokus atau berpusat. Pemimpin Transformasi menumpukan usaha kepada matlamat jangka panjang, meletakkan nilai-nilai dan memberikan penekanan kepada pembangunan dan menginspirasikan para pengikutnya untuk mengejar visi, mengubah dan menyelaraskan sistem untuk memenuhi visi.

Konsep Kepimpinan Transformasi telah wujud sejak perbincangan Max Weber mengenai Kepimpinan Karismatik pada dekad-dekad awal abad ke 20. Hanya sedikit perhatian diberi hinggalah muncul pengkaji bernama Robert J. House (1976) yang telah menjalankan analisa bersistem mengenai subjek ini dan menghasilkan ‘ Teori Robert J. House tentang Kepimpinan Karismatik’. Beberapa kajian berkenaan Kepimpinan Transformasi hari ini adalah berlandaskan kepada kajian penerokaan oleh James Mc Gregor. Burns (1978) dan kajian empirikal yang telah dijalankan oleh Bass (1985) dan rakan-rakannya ke atas teori Burns adalah dianggap sebagai titik permulaan. Melalui kajiannya, Bass (1996) memerhati gelagat perhubungan seseorang pemimpin Transformasi melalui empat dimensi iaitu:

• Keunggulan gelagat
• Menumpu kepada setiap individu
• Kelakuan ideal/karisma
• Merangsang secara intelek

Menurut Burns, kepimpinan seperti ini akan meningkatkan tahap aspirasi dalam
etika dan pengendalian manusia kepada kedua-dua pemimpin dan pengikutnya.
Oleh itu ianya akan menghasilkan kesan transformasi kepada mereka. Burns melihat kepimpinan seperti ini sebagai “kepimpinan yang dinamik” dalam erti kata di mana pemimpin menjalinkan perhubungan dengan pengikut-pengikutnya sehingga pengikut-pengikut berkenaan merasakan mereka menjadi ahli yang lebih aktif. Melihat kepimpinan sebagai satu proses dan bukannya sebagai satu set langkah-langkah yang diskrit, Burns (1978) menjelaskan kepimpinan Transformasi sebagai “satu aliran kemunculan perhubungan di mana pemimpin secara berterusan membangkitkan motivasi pengikut-pengikutnya. Oleh itu pemimpin mengubahsuai tingkah laku mereka apabila berhadapan dengan tanggung jawab atau halangan, dalam satu aliran proses yang tiada halangan dan tiada hentinya atau sebaliknya”. Dalam aliran inilah kepimpinan seseorang boleh menjadi sama ada ‘transforming’ atau ‘transactional’.

Walaupun Bass dan rakan-rakannya (1985) menyatakan bahawa perubahan berlaku terlalu perlahan dalam amalan, teori dan kajian tentang kepimpinan, mereka tidak menafikan bahawa anjakan paradigma sedang menyusul dalam kepimpinan dan sudah sampai masanya untuk kita memikirkan tentang kepimpinan lebih jauh dari yang bersifat transactional. Isu yang dibangkitkan oleh Bass adalah untuk memperolehi pencapaian pengikut-pengikut melebihi daripada tahap biasa mereka. Maka kepimpinannya mestilah bercorak transformational. Sikap, kepercayaan, motivasi dan keyakinan pengikut-pengikut perlulah dipindahkan dari aras kebangkitan dan kematangan yang rendah kepada aras yang lebih tinggi. Menurut Bass lagi, sifat-sifat sedemikian adalah amat diperlukan untuk melakukan perubahan organisasi dalam era pasca-moden. Perubahan peringkat rendah, seperti pengalaman sedia ada hanyalah sesuai digunakan sebagai satu proses pertukaran dalam perhubungan transactional. Manakala perubahan peringkat tinggi memerlukan kecepatan dalam peningkatan daya usaha dan ketepatan yang melibatkan perubahan-perubahan yang lebih besar melalui sikap, kepercayaan, nilai dan keinginan.

Tichy dan Devanna (1986) telah mengkaji proses-proses bagaimana pemimpin Transformasi menggerakkan sesebuah organisasi melakukan perubahan-perubahan yang besar. Mereka telah mengenal pasti tiga peringkat transformasi dalam organisasi.

Peringkat 1
• Mengenal pasti keperluan untuk melakukan perubahan dan cuba menyakinkan kakitangan utama dan organisasi berkenaan kesungguhan untuk melakukan perubahan.
Peringkat 2
• Melibatkan kakitangan utama dalam mereka bentuk dan mengilham visi
masa depan organisasi.

Peringkat 3
• Menggerakkan komitmen-komitmen ke arah visi yang telah dibentuk.

Kepimpinan Transformasi juga mempunyai tujuan, visi dan berfokus, satu struktur perancangan. Satu proses pemuafakatan dalam membuat keputusan serta satu budaya yang dikongsi bersama.

7. CIRI-CIRI KEPIMPINAN TRANSFORMASI

Ciri-ciri kepimpinan transformasi adalah seperti berikut:
1. Memiliki Karisma.
Para pemimpin transformasi mempunyai visi dan misi. Mereka diyakini, dihormati, ditaati dan disanjungi oleh para pengikutnya. Disebabkan keyakinan ini, mereka dapat berkongsi matlamat dan perjuangan. Oleh itu mereka merasa yakin, bangga dan bersemangat hendak mencapai apa yang mereka perjuangkan. Pemimpin transformasi berupaya menngemukakan wawasan-wawasan baru dan menggerakkan seluruh tenaga kerja bagi menerima wawasan-wawasan ini dan bersatu serta bekerjasama bagi merealisasikannya.

Karisma dapat menjadi alat bagi menukar para pengikutnya menjadi orang yang sangat efektif di dalam tugas-tugas yang diamanahkan. Mereka juga memberikan misi dan perjuangan yang jelas kepada para pengikutnya. Contoh visi dan misi yang amat jelas terdapat dalam ucapan Presiden John Kennedy apabila beliau mengajak rakyat Amerika berkongsi tekad bagi menghantar manusia ke bulan dan membawanya pulang ke bumi dengan selamat menjelang tahun 1970.
Sebagai seorang pemimpin, jika mereka berupaya menjadikan impian sebagai satu kenyataan yang pasti, maka pengikut akan menyokong mereka dengan sukarela.

2. Memberikan Rangsangan Intelektual.
Pemimpin Transformasi berupaya menjadikan para pengikutnya mampu mengenalpasti pelbagai cabaran dan halangan yang ada di depan mereka dan menjadikan mereka orang yang berani menghadapi cabaran dan menyelesaikannya. Mereka memberikan perhatian peribadi kepada pengikutnya dengan cara memberikan sokongan, dorongan dan perhatian yang sewajarnya agar sesuatu tugas dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

3. Mencetuskan Ilham
Pemimpin Transformasi memberikan motivasi yang amat tinggi kepada pengikutnya iaitu mampu mencetuskan ilham dalam diri mereka. Para pemimpin ini mampu membangkitkan emosi yang kuat di kalangan pengikut mereka. Mereka mampu mengujudkan perasaan kesepaduan antara pengikut dan pemimpin. Mereka juga boleh membantu para pengikutnya mengubah sikap dan tingkah laku dengan cara melatih mereka menjadi mentor kepada para pengikut yang lain. Latihan ini dilakukan untuk menggalakkan para pengikut agar berani menghadapi cabaran untuk mencapai impian mereka. Pemimpin Transformasi cenderung membawa perubahan kepada seluruh organisasi yang dipimpinnya.

4. Memberi Perhatian Individu
Pemimpin Transformasi mengambil berat terhadap kepentingan setiap individu yang dipimpinnya dan mereka sanggup mendengar dan menyelesaikan masalah individu. Setiap orang dianggap penting dan diberikan layanan khusus. Mereka mencari waktu untuk bercakap dengan setiap orang serta bercakap kepada kumpulan. Ini menyebabkan orang yang dipimpin berasa dihargai dan dihormati.
Kajian-kajian menunjukkan para pemimpin Transformasi sangat berjaya membawa perubahan dan perkembangan kepada organisasi yang mereka pimpin. Apabila orang-orang yang berada di bawah pimpinannya berasa mereka dipimpin oleh pemimpin yang mempunyai gaya transformasi, mereka menunjukkan sikap yang positif sebagai pengikut. Mereka juga memperolehi kepuasan dalam menjalankan tugas. Mereka juga lebih komited terhadap organisasi. Bagi membolehkan organisasi yang dipimpin mencapai matlamat dalam kepimpinan transformasi, ciri-ciri berikut boleh dijadikan panduan:
i. Menggubal visi untuk organisasi
Visi yang digubal itu mestilah disenangi dan diterima oleh pengikut supaya mereka dapat memberikan sokongan sepenuhnya dan seterusnya mengamalkan visi berkenaan. Sesuatu visi itu mestilah tepat dan jelas serta mudah difahami oleh pengikut bagi membolehkan mereka menjadi pelaksana yang berkesan.

ii. Menggubal strategi pencapaian visi
Warwar dan jelaskan strategi kepada semua orang yang dipimpin. Elakkan daripada mencipta strategi yang panjang lebar. Strategi hendaklah mempunyai hala tuju yang jelas dan mempunyai panduan utama. Beri peluang kepada pengikut untuk menyumbangkan idea dan fikiran mereka. Dengan ini pengikut akan merasakan mereka adalah sebahagian daripada organisasi.
iii. Elakkan bercakap tentang visi
Teruskan memotivasikan pengikut untuk merealisasikan visi organisasi.
iv. Pamerkan rasa yakin dan sikap optimis yang tinggi bahawa visi itu mampu dicapai.
Sebagai pemimpin, keyakin diri yang tinggi menjadi perhatian pengikut. Sekiranya pemimpin memiliki keyakinan barulah pengikut juga akan turut merasakannya.
v. Pamerkan rasa yakin pada bakat dan kebolehan pengikut.
Keyakinan juga merupakan hal yang sangat penting. Pemimpin mestilah memberi sepenuh keyakinan terhadap bakat dan kebolehan pengikut dalam melaksanakan tugas merealisasikan visi. Apabila pengikut mengetahui bahawa mereka diyakini, maka pengikut akan melaksanakan tugas dengan sukarela.
vi. Memperjelaskan kepentingan yang diutamakan oleh organisasi.
Pemimpin harus tahu menunjukkan kepada pengikutnya tentang keutamaan yang dititik beratkan oleh organisasi. Lahirkan secara simbolik mahupun secara terus terang. Contohnya kilang yang mengutamakan mutu hasil pengeluaran akan melupuskan hasil keluaran yang tidak bermutu.
vii. Kepimpinan melalui teladan.
Pemimpin yang inginkan hasil terbaik harus mengamalkan konsep
ini. Apabila pemimpin menunjukkan teladan yang selari dengan
visi dan misi organisasi, pengikut akan menurut arus kepimpinan
mereka.
Secara ringkasnya dapatlah disimpulkan bahawa Kepimpinan Transformasi adalah seperti berikut:
• Satu perhubungan antara manusia.
• Bersifat karismatik atau inspirasi.
• Personal
• Merangsang secara intelek.
• Bersifat transaksi dan transformasi.
• Untuk komuniti.
Kepimpinan Transformasi juga mempunyai tujuan, visi dan berfokus. Mengandungi satu struktur perancangan, satu budaya yang dikongsi bersama dan satu proses pemuafakatan dalam membuat keputusan.

Wednesday, October 28, 2009

Satu Malaysia
















1Malaysia


"Saya berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat lelah, berkhidmat dan membela untung nasib rakyat.Kita akan sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat negara dengan semangat: Satu Malaysia. Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.” Petikan daripada ucapan YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak ini memberi tafsiran yang beliau ingin melaksanakan satu transformasi kepada negara, demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia .YAB Dato’ Seri Najib telah memulakan tampuk kepimpinannya dengan satu arah tuju yang cukup jelas. Sepanjang tahun 2008 Malaysia menghadapi kemelut politik.Manakala pada tahun 2009 kita semua maklum mengenai kesan yang semakin menghimpit akibat krisis ekonomi dunia.Kita percaya bahawa kemelut ekonomi dan politik ini akan terus menjadi cabaran kepada kepimpinan baru sekarang.Ia seharusnya dihadapi oleh semua pihak dengan matlamat yang satu, tanpa mengira kaum,agama dan kiblat politik.”1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan” slogan ini mencerminkan sikap prihatin dan terbuka yang dimiliki pemimpin kita.Slogan ini cukup baik kerana bak kata Datuk Seri Najib ianya merentasi kaum dan etnik di negara ini. Beliau juga berjanji untuk menjadikan dirinya Perdana Menteri untuk komuniti.Semua kaum seharusnya tidak merasakan diri mereka tersisih kerana negara Malaysia adalah untuk semua.Tugas dan tanggungjawab Datuk Seri Najib cukup besar dan mencabar.Bukan senang untuk menyatu padukan rakyat berbilang kaum yang berlainan keturunan, agama serta fahaman politiknya.Slogan yang dibawa oleh Perdana Menteri memberi harapan kepada rakyat di mana tiada seorang pun akan dipinggirkan dalam pentadbiran beliau.
”Rakyat Didahulukan”merupakan satu gagasan untuk membina negara bangsa kearah mencapai Wawasan 2020. Merealisasikan Malaysia sebagai sebuah Negara Maju merupakan intipati utama dalam Wawasan 2020 yang diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohammad pada 28 haribulan Februari 1991. Ia merupakan satu Rancangan Malaysia Jangka Panjang untuk melonjakan Negara Malaysia sebaris dengan negara-negara maju di dunia seterusnya memertabatkan bangsa Malaysia sebagai bangsa yang berkualiti, berdaya maju serta berdaya saing dalam semua aspek dan demensi, ekonomi, politik, social, kerohanian, psikologi dan budaya.
Bagi mencapai status itu, setiap warganegara harus bersedia dengan apa sahaja perubahan yang masuk ke negara kita sama ada secara sengaja atau sebaliknya, positif atau negatifnya dan seumpamanya lagi.Pembaharuan pentadbiran kadangkala dirujuk sebagai reformasi, perubahan, pemodenan, pembaikkan atau pembangunan yang membawa maksud peralihan daripada keadaan atau cara lama kepada keadaan atau cara baru yang dikatakan lebih baik. Umumnya, peralihan pasti berlaku akibat tekanan dan pengaruh bebarapa fakor luaran dan dalaman. Faktor luaran sangat berkait dengan pengaruh globalisasi yang melanda dunia hari ini. Sebagai contoh, perubahan ideologi politik daripada sosialis kepada demokrasi di Rusia serta kejatuhan nilai mata wang dan pasaran saham di Negara-Negara Asia Timur telah memberi kesan terhadap operasi sesebuah organisasi. . Matlamat globalisasi ialah untuk melahirkan masyarakat lebih bermaklumat dan berilmu. Secara langsung kita dapat melihat kesannya di Malaysia yang melibatkan sosio-ekonomi, pendidikan, kebudayaan, multi media dan penyelidikkan di Malaysia. Walaupun dari segi positifnya kita melihat terdapat faktor-faktor menyumbang dalam konteks pendidikan di Malaysia, namun dari sudut falsafah dan matlamat globalisasi itu sendiri ianya boleh mengugat kekuatan asasi sesuatu bangsa atau kelompok seperti sistem nilai, agama, budaya dan corak hidup masyarakat di Malaysia. Antara bidang yang ada rapat hubungan dengan proses globalisasi ini ialah aspek pembangunan modal insan yang selalu di tekankan oleh Perdana Menteri Malaysia.
Apakah sebenarnya ”1Malaysia.Rakyat Didahulukan,Pencapaian Diutamakan”?
Menurut Kamus Dewan,edisi keempat, 1 atau Satu membawa maksud angka permulaan membilang bilangan,tidak ada yang lain atau solo. Manakala Malaysia bermaksud sebuah negara yang terletak di Asia Tenggara yang ibu negaranya Kuala Lumpur, bahasa rasmi dan bahasa kebangsaannya bahasa Melayu, dan agama rasminya agama Islam.Rakyat pula bermaksud seluruh penduduk sesebuah negeri atau negara.Didahulukan pula membawa maksud membuat sesuatu lebih awal daripada yang lain.Pencapaian pula membawa maksud apa yang telah dicapai,dihasilkan atau diperolehi.Manakala diutamakan membawa maksud dianggap lebih penting daripada yang lain. Dari huraian yang telah dibuat, dapat dirumuskan bahawa 1Malaysia.Rakyat Didahulukan,Pencapaian Diutamakan diertikan sebagai Malaysia yang bersatu padu dari semua segi yang mana kepentingan seluruh rakyatnya diambil berat lebih awal daripada hal yang lain dan pencapaian serta hasil yang diperolehi dianggap lebih penting.Yang lebih nyata, 1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. 1Malaysia. Rakyat Didahulukan,Pencapaian Diutamakan diyakini akan menjana satu transformasi ketara, kearah sebuah negara maju, didukungi oleh rakyat yang utuh perpaduannya dan tinggi mertabatnya pada pandangan dunia.1Malaysia merupakan satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Ianya merupakan pelengkap kepada pendekatan-pendekatan yang sedia ada dalam dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional untuk memperkukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan,ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara Malaysia.Selain itu, 1Malaysia juga digagaskan sebagai satu formula yang akan membantu memastikan aspirasi negara, iaitu wawasan 2020 tercapai jika ia diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat. Untuk mencapai status negara maju,syarat yang paling utama ialah sebuah negara yang kukuh dan stabil. Kestabilan dan kekukuhan ini hanya dapat dicapai apabila rakyat bersatu padu.
1Malaysia menggambarkan perpaduan yang amat berbeza dari konsep asimilasi yang diamalkan oleh negara-negara lain.Di negara-negara lain identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan diganti dengan satu identiti nasional yang sama. Sebaliknya identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia serta prinsip-prinsip perlembagaan persekutuan dihargai dan dihormati oleh 1Malaysia.Malahan prinsip-prinsip perlembagaan persekutuan serta identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia dianggap sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan.Sikap penerimaan di kalangan rakyat berbilang kaum juga ditekankan oleh 1Malaysia.Dalam konsep penerimaan ini,sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya supaya dapat hidup bersama dalam keadaan saling hormat-menghormati sebagai rakyat dalam satu negara.1Malaysia juag menjadi asas kepada prinsip keadilan untuk semua kaum.Di bawah prinsip ini nasib semua kaum akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan.Keadilan ini telah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum di kesemua tahap. Dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan perlembagaan tetap akan memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya.
Dalam PIPP ( 2001-2010 ) teras pertama telah menyebut tentang membina negara bangsa.1Malaysia adalah sebagai penerus kepada agenda membina negara.Untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu.Ianya harus dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum yang akan membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar.
Dalam usaha mencapai negara maju, pembentukan Negara Bangsa menjadi semakin mencabar terutamanya dalam era globalisasi. Globalisasi bukan sahaja berkuasa menggerakkan modal, barangan dan manusia, tetapi juga berupaya mengubah gagasan, budaya, nilai dan jati diri secara tradisional.Gagasan ,budaya, nilai dan jati diri sesebuah negara Bangsa akan lenyap begitu sahaja sekiranya bangsa tersebut lalai dan menerima sewenang-wenangnya segala yang dibawakan oleh arus globalisasi.
Pembentukan Negara Bangsa Malaysia yang maju dan bersatu padu bukan sahaja perlu berasaskan ekonomi yang berdaya tahan tetapi juga kepada pengagihan kekayaan yang lebih adil dan saksama. Di samping pertumbuhan dan kedinamikan ekonomi yang perlu dicapai, ketidak seimbangan peluang ekonomi dan sumber pendapatan tidak harus dibiarkan berlarutan sehingga menggugat pembangunan negara. Menjelang wawasan 2020, tidak wajar ada golongan yang tercicir daripada arus kemajuan negara.Pada waktu yang sama, minda, budaya dan nilai yang menjadi pegangan rakyat serta institusi sosial perlu diperkukuhkan sejajar dengan hasrat negara untuk maju mengikut acuannya sendiri.
Pembinaan Negara Bangsa amat penting bagi sesebuah negara yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia. Keupayaan membina Negara Bangsa bergantung kepada perkongsian nilai serta semangat patriotisme.Ia menjadi semakin penting lebih-lebih lagi dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dab pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia, tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara.
Perpaduan merupakan aspek penting dalam pembangunan negara. Kemajuan yang dinikmati sekarang adalah hasil daripada perpaduan erat antara pelbagai kaum di negara ini.
1Malaysia terdiri daripada empat asas utama.Pertama ialah perpaduan.Perpaduan adalah pra-syarat dalam usaha merealisasikan aspirasi negara iaitu mencapai status Negara Maju menjelang tahun 2020.Kedua, 1Malaysia adalah penerusan agenda membina negara.Ketiga, perpaduan sememangnya telah membentuk teras utama dalam hala tuju negara menuju kecemerlangan bermula sejak kemerdekaan dicapai. 1Malaysia bertujuan menyemarakkan semula semangat perpaduan dan persaudaraan di kalangan rakyat Malaysia.Keempat, untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu, dan ini dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum, yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar.

Konsep 1Malaysia digagaskan akan terlaksana dalam dua aspek utama . Aspek yang pertama adalah penerapan teras-teras perpaduan.Menerapkan teras-teras perpaduan sebagai budaya dan amalan semua rakyat Malaysia. Teras perpaduan ini didokongi oleh nilai-nilai murni yang seharusnya mendasari cara hidup rakyat Malaysia.Aspek kedua pula adalah penerapan nilai-nilai aspirasi.Nilai-nilai aspirasi yang digagaskan dalam konsep 1Malaysia ialah nilai-nilai yang perlu ada pada masyarakat progresif dan dinamik yang akan memacu negara ke arah mencapai status negara maju.Nilai-nilai aspirasi akan membantu dalam mewujudkan tenaga kerja yang berdaya maju dan mampu bersaing dalam persekitaran global dan ini seterusnya membantu melonjakkan kedudukan ekonomi negara ke tahap yang lebih kukuh dan mantap.
Dalam aspek pertama ini pula ada tiga teras.Teras pertama adalah penerimaan. 1Malaysia menekankan sikap penerimaan di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar dapat kita hidup bersama dalam keadaan saling hormat-menghormati sebagai rakyat dalam satu negara. Teras kedua pula adalah prinsip-prinsip kenegaraan yang berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.Teras ketiga pula keadilan sosial.Semua rakyat Malaysia akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza.Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan.
Ketiga-tiga teras perpaduan ini pula didokongi oleh empat nilai murni. Nilai yang pertama adalah Hormat-menghormati.Hormat-menghormati antara semua kaum termasuk menghormati adat resam serta budaya kaum lain.Rasa hormat ini juga menuntut kita tidak mengeluarkan kata-kata kesat tentang kaum lain dan juga tidak mempersoalkan peruntukan-peruntukan undang-undang yang menyentuh sensitiviti kaum.Nilai kedua pula adalah rendah hati ( Tawadhuk). Rasa rendah hati atau Tawadhuk adalah perasaan insaf bahawa kita semua adalah rakyat dalam satu negara yang sama dan kita perlu hidup bersama secara harmoni.Ia juga merangkumi pengertian bahawa setiap kaum, malah setiap individu ada kelemahan dan kelebihan nya yang sendiri, dan seterusnya kita memanfaatkan kelebihan masing-masing demi untuk memperkukuhkan masyarakat dan negara.Nilai ketiga adalah kesederhanaan.Pendekatan sederhana dalam apa jua isu yang berbangkit. Dalam negara bermasyarakat majmuk seperti Malaysia, tindakan atau tutur kata bersifat ekstrem tidak langsung boleh diterima kerana ia boleh membawa kepada masalah ketidakstabilan sosial yang lebih parah.Nilai keempat pula adalah Berbudi-bahasa.Budi-bahasa ialah tuturkata dan tingkah laku yang tertib dan berpaksikan kesantunan dalam segala interaksi dan perhubungan dengan pihak lain bagi menjana kerjasama dan permuafakatan yang lebih erat.
Dalam melaksanakan aspek kedua gagasan 1Malaysia, ada beberapa nilai aspirasi yang perlu diberi penekanan.Nilai yang pertama adalah Budaya berprestasi tinggi.Sifat memastikan setiap perkara dan setiap tugas yang dilakukan mencapai tahap yang terbaik.Sikap sambil lewa dan ”acuh tak acuh” tidak boleh wujud dalam masyarakat yang berdaya maju.Nilai kedua adalah budaya ketepatan.Sebagai rakyat sebuah negara yang berhasrat mencapai status negara maju, rakyat Malaysia perlu dikenali dengan budaya ketepatan, termasuklah menepati waktu dan mengutamakan kecekapan dalam melaksanakan semua tugas dan kewajipan..Nilai ketiga adalah budaya ilmu. Sesebuah negara hanya akan benar-benar maju dan berjaya apabila rakyatnya memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi. Budaya ilmu ialah kecenderungan untuk sentiasa memburu pengetahuan yang ternini dan kesediaan untuk menimba ilmu sepanjang hayat.Nilai keempat adalah Integriti.Rakyat Malaysia perlu memiliki integriti yang tinggi dalam melaksanakan sebarang tugas dan tanggungjawab agar bangsa dan negara sentiasa disegani dan dihormati oleh semua pihak. Integriti merangkumi sifat-sifat amanah, bersih dan cekap dalam melakukan sebarang tugas dan melaksanakan tanggungjawab.
Nilai kelima adalah ketabahan.Ketabahan dalam mengharungi masalah dan cabaran yang mendatang.Rakyat Malaysia seharusnya bersifat tidak mudah mengaku kalah.Sebaliknya perlu memiliki keyakinan diri yang tinggi serta semangat juang yang kental dalam apa jua bidang yang diceburi.Nilai keenam adalah kesetiaan. Kesetiaan sepenuhnya kepada negara Malaysia dan kesediaan untuk berbakti dan berkorban demi negara yang tercinta.
Nilai ketujuh adaalah kebijaksanaan. Kebijaksanaan ialah cara berhadapan dengan sebarang masalah dengan penuh berhemah dan teliti agar tidak berlaku perkara-perkara yang menyinggung hati dan perasaan mana-mana pihak yang lain.Nilai kelapan adalah budaya inovasi. Budaya inovasi adalah kesediaan kita sebagai rakyat Malaysia untuk mencuba perkara baru dan berinovasi dalam apa jua lapangan yang kita ceburi. Rakyat Malaysia perlu dikenali sebagai individu-individu yang mampu menjadi pemimpin dalam bidang masing-masing. Kita mesti berani berubah untuk kebaikan, berani mencari penyelesaian baru dalam menangani masalah dan sentiasa bersedia untuk menjadi perintis.
Kesimpulannya, 1Malaysia.Rakyat didahulukan,Pencapaian Diutamakan diyakini akan menjana satu transformasi ketara, kearah sebuah negara Malaysia yang maju, didokongi oleh rakyat yang utuh perpaduannya dan tinggi mertabatnya pada pandangan dunia.Sebagai rakyat Malaysia ia seharusnya dihadapi oleh semua pihak tanpa mengira asal dari pelusuk negeri yang mana, kaum apa ,tampuk kepimpinan apa dan apa pegangan agamanya.Slogan ini seharusnya dipikul bersama oleh rakyat Malaysia jika ingin merealisasikannya.